
PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir dan seorang aktivis kesihatan menggesa kerajaan mencontohi inisiatif Thailand yang menurut mereka boleh mendorong perubahan tabiat rakyat dalam usaha mengatasi masalah pengambilan gula berlebihan.
Awal bulan ini, akhbar The Nation melaporkan, sembilan pemain industri utama, dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Thailand, bersetuju memperkenalkan standard baharu bagi tahap kemanisan minuman dijual.
Di bawah inisiatif itu, minuman kini dihidangkan kepada pelanggan di restoran atau kafe dengan hanya 50% gula berbanding resipi asal.
Objektifnya adalah untuk mengurangkan pengambilan gula bagi menurunkan risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) dan obesiti.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Khalib berkata, kerajaan pada masa ini mempunyai ‘beberapa alat’ untuk membantu mengurangkan pengambilan gula, termasuk cukai, subsidi, insentif, penalti dan larangan.
“(Namun, impak) larangan dan penalti semata-mata adalah terhad dan hampir mustahil untuk meminta orang ramai berhenti mengambil gula.
“(Langkah) mendorong industri mengurangkan kandungan gula dalam produk mereka akan memberi impak yang lebih kukuh dan mampan,” katanya kepada FMT.
Pada 2019, Malaysia memperkenalkan duti eksais sebanyak 40 sen seliter ke atas semua minuman berpaket sedia minum yang mengandungi lebih 5g gula per 100ml.
Kadar cukai ini kemudiannya dinaikkan kepada 50 sen seliter pada 1 Januari 2024, dan seterusnya kepada 90 sen seliter pada 1 Januari 2025.
Namun, kata Azrul, cukai minuman bergula (SSB) tidak memberi impak ke atas minuman yang disediakan mengikut pesanan di kafe, restoran atau gerai makanan yang antaranya menghidangkan teh tarik, ais kacang dan sirap bandung.
Dan walaupun cukai itu mempengaruhi tabiat pengambilan golongan muda yang mempunyai kuasa beli lebih rendah, ia tidak memberi kesan yang sama ke atas pengguna yang lebih berusia.
“Cukai SSB mempunyai impak dan keupayaan yang terhad untuk mengubah tabiat pengambilan (gula). Kuncinya adalah mengenakan cukai ke atas gula itu sendiri atau menghapuskan subsidinya,” tambahnya.
Aktivis kesihatan Chan Li Jin menyifatkan inisiatif Thailand itu sebagai ‘langkah berani dan perlu’ untuk menangani NCD.
Menurutnya, cita rasa rakyat Malaysia ‘terlatih’ untuk menggemari makanan dan minuman yang tinggi gula dan tinggi kalori.
Minuman sedemikian, katanya, sangat popular dalam kalangan pengguna muda.
“Kemanisan itu suatu cita rasa yang dibiasakan. Dengan mengurangkan tahap gula sebanyak 50%, terutamanya dalam minuman yang digemari golongan muda, Thailand sedang cuba melatih semula deria rasa penduduknya untuk memilih pilihan yang kurang manis,” katanya kepada FMT.
Chan berkata, dengan seorang daripada lima rakyat Malaysia menghidap diabetes dan hampir separuh daripadanya tidak didiagnosis, kerajaan mesti bertindak tegas.
“Apabila rakyat tidak dapat membuat pilihan yang tepat untuk kesihatan mereka, kerajaan mesti campur tangan,” katanya menambah, walaupun ia mungkin mengambil masa satu generasi untuk melihat hasil sepenuhnya, ini suatu permulaan yang positif.
