Setiap anggota Kabinet capai KPI, kata Anwar

cabinet meeting
PM Anwar Ibrahim berkata, KPI ditetapkan setiap kementerian dipantau oleh agensi seperti Unit Pantau Madani dan Pacu di Pejabat Perdana Menteri. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Setiap anggota Jemaah Menteri menjalankan tugas dengan baik dan mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan oleh kementerian masing-masing, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, kerajaannya komited terhadap prinsip tanggungjawab kolektif sebagai Jemaah Menteri, yang mendorong penetapan KPI yang jelas dan boleh diukur di setiap kementerian.

Katanya, agensi seperti Unit Pantau Madani dan dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (Pacu) di Pejabat Perdana Menteri memantau KPI tersebut.

“Secara keseluruhan, barisan anggota Jemaah Menteri pada masa ini telah menjalankan tanggungjawab dengan penuh berintegriti dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagaimana KPI yang telah disasarkan oleh setiap kementerian.

“Pada masa yang sama, kerajaan tidak akan berkompromi sekiranya berlaku mana-mana pelanggaran integriti,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Shahidan Kassim (PN-Arau) mengenai sama ada menteri akan dipaksa meletak jawatan jika gagal melaksanakan tugas dengan baik, bagi memastikan akauntabiliti.

Anwar berkata, akauntabiliti bukan sekadar soal hukuman, tetapi juga pembetulan, penambahbaikan berterusan dan tanggungjawab moral yang dipikul menteri terhadap rakyat.

“Justeru, budaya prestasi tinggi dan integriti akan terus diperkukuh bagi memastikan setiap kementerian benar-benar berfungsi secara efektif, cekap dan beramanah,” katanya.

Author: admin