Speaker DUN Perlis mohon batal saman pemula 3 bekas Adun

Speaker DUN Perlis Rus’sele Eizan failkan permohonan bagi batal saman pemula pada Isnin lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Speaker DUN Perlis Rus’sele Eizan memfailkan permohonan bagi membatalkan saman pemula difailkan tiga bekas adun di Mahkamah Tinggi Kangar.

Peguam mewakili Rus’sele, Wan Rohimi Wan Daud berkata permohonan pembatalan berkenaan difailkan pada Isnin lalu.

Sementara itu, mengenai pengurusan kes saman pemula itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kangar Mohamad Abazafree Mohd Abbas melalui aplikasi Zoom petang tadi, Wan Rohimi berkata mahkamah menetapkan tempoh hingga 25 Mac ini untuk pihak plaintif memfailkan jawapan terhadap afidavit Rus’sele.

“Mahkamah juga tetapkan tempoh untuk defendan membalas pada 15 April 2026. Selanjutnya, satu prosiding (melalui) Zoom di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi untuk tetapkan bicara permohonan dan arahan berkaitan pada 16 April 2026,” katanya kepada Bernama.

Pada 2 Jan, media melaporkan tiga bekas wakil rakyat, iaitu Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong), dan Saad Seman (Chuping) memfailkan saman pemula terhadap Rus’sele kerana mengisytiharkan kekosongan luar jangka bagi kerusi diwakili mereka.

Sebelum itu, pada 25 Dis tahun lalu, Rus’sele mengumumkan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi Chuping, Bintong, dan Guar Sanji selepas keahlian tiga wakil rakyat PAS itu terhenti serta-merta, selaras dengan Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis.

Keputusan itu susulan kenyataan Presiden PAS Hadi Awang pada 24 Dis 2025 yang memaklumkan keahlian ketiga-tiga Adun terbabit terhenti berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

Tiga bekas Adun itu diwakili Peguam Mohd Jamil Yaacob.

Author: admin