
PETALING JAYA: Tenom menjadi daerah terbaru dilanda banjir di Sabah ekoran hujan berterusan sejak semalam, menjadikan keseluruhan enam daerah terjejas dengan bencana itu setakat 8 malam ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan, mangsa sedang giat dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Tenom.
Bagaimanapun, menurut JPBN Sabah, jumlah mangsa banjir yang berlindung di 11 PPS menurun kepada 1,564 orang setakat 8 malam ini.
Jumlah ini berkurangan berbanding 2,616 orang petang tadi, berikutan sejumlah besar daripada 1,777 mangsa di lima PPS di Pitas dibenarkan pulang ke rumah.
“Kini, hanya tinggal 527 mangsa yang masih ditempatkan di PPS di daerah itu, manakala di PPS Sook hanya terdapat 79 mangsa, Sipitang (352 orang), Beaufort (395 orang) dan Membakut (211),” menurut JPBN Sabah dalam kenyataan, lapor Bernama.
Secara keseluruhan, 140 kampung terjejas dengan banjir di kelima-lima daerah berkenaan.
