Pembantu nafi Hamzah hantar surat kepada Zahid, mahu kembali kepada Umno

Hamzah Zainudin
Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin dipecat daripada Bersatu pada 13 Feb lepas, namun kekal menjadi ketua pembangkang di Dewan Rakyat.

PETALING JAYA: Seorang pembantu Hamzah Zainudin menafikan bekas timbalan presiden Bersatu itu menulis surat kepada Presiden Umno Zahid Hamidi mengenai penyertaannya semula ke dalam parti itu.

Setiausaha akhbar Hamzah, Asron Mustapha berkata, surat yang didakwa dihantar Hamzah kepada Zahid yang kini tular itu merupakan satu percubaan terancang untuk mencemarkan imej Ahli Parlimen Larut tersebut.

“Hentikan ‘black ops’ ini, sudah-sudahlah sebar khabar angin mengenai Hamzah,” katanya kepada FMT.

Menurut surat bertarikh 23 Feb itu, Hamzah juga didakwa memohon peranan kepimpinan dalam inisiatif Rumah Bangsa Umno.

Bersatu memecat Hamzah pada 13 Feb lepas, di tengah-tengah perebutan kuasa antara beliau dan presiden parti, Muhyiddin Yassin.

Sejak itu, timbul khabar angin bahawa beliau bersama 18 individu lain akan menyertai parti baharu.

Zahid sebelum ini pernah menyatakan bahawa Umno terbuka menerima kembali bekas ahlinya, termasuk Hamzah.

Bekas menteri dalam negeri itu meletak jawatan daripada Umno pada Disember 2018 dan menyertai Bersatu dua bulan kemudian.

Author: admin