
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan kompaun RM1.025 juta terhadap KAF Investment Bank Bhd (KAF IB) susulan kegagalan mematuhi arahan menurut Akta Perkhidmatan Kewangan (APK) 2013.
Bank pusat itu berkata, arahan berkenaan mengkehendaki institusi kewangan menetapkan dan melaksanakan kawalan serta prosedur dalaman bagi memastikan pematuhan pada Notis Dasar Pertukaran Asing (FEP) BNM.
“Kompaun ini dikenakan disebabkan kegagalan KAF IB meneliti kelulusan BNM sebelum melaksanakan transaksi yang melibatkan aset mata wang asing oleh individu pemastautin yang mempunyai Pinjaman Domestik dalam Ringgit (DRB) melebihi had yang dibenarkan.
“Kegagalan KAF IB mematuhi keperluan ini merupakan pelanggaran undang-undang menurut seksyen 214(9) APK 2013,” kata BNM dalam kenyataan.
Bank pusat itu berkata, semasa membuat keputusan mengenai kompaun yang akan dikenakan, faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan diambil kira termasuk ketiadaan kawalan dan prosedur oleh KAF IB untuk memastikan pematuhan pada FEP dan rekod pematuhan KAF IB terdahulu.
Ia turut mengambil kira tingkah laku KAF IB selepas kesalahan serta keberkesanan tindakan pemulihan yang diambil oleh institusi kewangan itubagi mencegah ketidakpatuhan daripada berulang.
“Setelah kesalahan dikesan, KAF IB mengambil langkah pemulihan dengan mewujudkan dan melaksanakan dasar serta prosedur dalaman untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan FEP,” katanya.
BNM berkata, pada 29 Jan lepas, KAF IB membayar kompaun RM1.025 juta dan tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam dokumen Pendekatan Penguatkuasaan.
Bank pusat itu menegaskan, institusi kewangan serta orang ramai dikehendaki memastikan pematuhan sepenuhnya pada keperluan FEP yang berkaitan apabila menjalankan transaksi pertukaran asing.
Hal ini termasuk mendapatkan kelulusan bertulis daripada BNM, jika berkenaan.
Institusi kewangan juga diingatkan untuk memberikan panduan dan nasihat yang sesuai kepada pelanggan berkenaan keperluan ini.
