‘Import’ Radzi tak bermaksud Bersatu Melaka tandus pemimpin, kata ketua bahagian

Hishamuddin Abdul Karim
Hishamuddin Abdul Karim berkata akar umbi Bersatu Melaka kekal kukuh di sebalik perkembangan politik melanda parti itu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bersatu Melaka tidak lumpuh dan ketandusan pemimpin walaupun Naib Presiden Radzi Jidin ‘diimport’ menjadi ketuanya bagi mengantikan Rahim Thamby Chik yang meletak jawatan, semalam.

Ketua Bersatu Kota Melaka, Hishamuddin Abdul Karim, turut menegaskan struktur parti kekal utuh dan sebarang dakwaan pembubaran bahagian secara unilateral tidak menjejaskan kedudukan rasmi parti.

Katanya, pelantikan Radzi sebagai ketua Bersatu Melaka sebagai langkah strategik dalam usaha memperkukuh semula saf kepimpinan parti di Melaka, selaras keperluan semasa serta cabaran politik semakin dinamik.

“Parti tidak pernah ketandusan pelapis kepimpinan atau calon.

“Kekuatan akar umbi di Melaka kekal kukuh serta berdisiplin,” katanya kepada FMT sambil menyatakan persedian Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) berdepan PRN berjalan lancar,

Hari ini, Setiausaha Agung Azmin Ali mengumumkan pelantikan Radzi sebagai ketua Bersatu Melaka selepas dipersetujui Presiden Muhyiddin Yassin.

Untuk rekod, Radzi adalah Ahli Parlimen Putrajaya dan naib presiden serta ketua Bersatu Wilayah Persekutuan, selain turut menjalankan tugas timbalan presiden susulan pemecatan Hamzah Zainudin, 13 Feb lalu.

Bekas ketua Bersatu Melaka Dr Yadzil Yaakub bagaimanapun mempersoalkan kekuatan parti itu di negeri terbabit apabila terpaksa ‘mengimport’ Radzi untuk mengepalainya.

Beliau yang dipecat pada 12 Feb lalu berkata pimpinan pusat sering mendakwa keadaaan Bersatu masih kuat di sebalik tindakan ramai pemimpin serta ahli meletak jawatan serta keluar parti.

Author: admin