‘Import’ pemimpin luar, Yadzil persoal kekuatan Bersatu Melaka

Yadzil Yaakub berkata pelantikan Radzi Jidin tunjukkan Bersatu Melaka seolah-olah tiada pemimin layak menjadi ketua.

PETALING JAYA: Bekas Ketua Bersatu Melaka Dr Yadzil Yaakub mempersoalkan kekuatan parti itu di negeri terbabit apabila terpaksa ‘mengimport’ pemimpin dari luar untuk mengepalainya.

Beliau yang dipecat pada 12 Feb lalu berkata pimpinan pusat sering mendakwa keadaaan Bersatu masih kuat di sebalik tindakan ramai pemimpin serta ahli meletak jawatan serta keluar parti.

Ia termasuk Rahim Thamby Chik yang meletak jawatan sebagai ketua Bersatu Melaka semalam dan digantikan Radzi seperti dipersetui Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

“Kononnya kata lebih hebat, ada sokongan lagi dan tak mati lagi Bersatu di Melaka.

“Tetapi terpaksa import dari luar untuk jadi ketua Bersatu Melaka,” kata Adun Bemban itu kepada FMT.

“Sepatutnya boleh cari dalam kalangan pemimpin di bawah yang masih ada.”

Beliau mengulas keputusan Presiden Muhyiddin Yassin melantik Radzi menerajui Bersatu Melaka menggantikan Rahim berkuat kuasa serta merta.

Untuk rekod, Radzi adalah Ahli Parlimen Putrajaya dan naib presiden serta ketua Bersatu Wilayah Persekutuan, selain turut memangku tugas timbalan presiden susulan pemecatan Hamzah Zainudin, 13 Feb lalu.

Yadzil berkata Bersatu sepatutnya melantik orang yang benar-benar tahu selok-belok Melaka, kenal ahli dan jentera memandangkan masa suntuk kerana negeri itu akan berdepan PRN pada penghujung tahun ini.

“Bila ambil orang luar, itu akan jadi kekangan,” kata Yadzil, sambil menambah krisis dalaman Bersatu dijangka menyukarkan parti itu untuk pertahan dua kerusi – Bemban dan Sungai Udang – dimenangi pada PRN 2021.

Bersatu Melaka didakwa lumpuh selepas lima daripada enam jawatankuasa bahagian parti itu mengumumkan pembubaran serta-merta semalam.

Bahagian terlibat ialah Masjid Tanah; Hang Tuah Jaya; Tangga Batu; Alor Gajah dan Jasin, dengan Kota Melaka satu-satunya bahagian yang tidak terbabit dalam keputusan itu.

Author: admin