Liew jelas mengapa syarikat dorman MoF Inc belum boleh bubar

mof
Sesetengah syarikat sudah dorman lebih lima tahun tanpa sebarang pengurusan atau kegiatan komersial, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Beberapa syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) yang sudah lama dorman belum boleh dibubarkan kerana terikat hutang tertunggak dan komitmen undang-undang, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata, walaupun sesetengah syarikat itu sudah dorman lebih lima tahun tanpa sebarang pengurusan atau kegiatan komersial, syarikat-syarikat tersebut masih belum boleh dibubar disebabkan obligasi kewangan yang belum ditunaikan.

“Selain itu, terdapat juga syarikat yang dalam proses pembubaran atau menghadapi tuntutan perundangan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Sekiranya isu-isu tersebut ini telah diselesaikan, (barulah) syarikat tersebut akan dibubarkan,” jelas Liew ketika menggulung perbahasan Laporan Ketua Audit Negara 1/2026 bagi Kementerian Kewangan.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada pertanyaan Ahli Parlimen berhubung tindakan kerajaan mengurus syarikat yang telah dorman lebih lima tahun.

Menurut LKAN, 36 syarikat dorman dengan liabiliti bersih berjumlah RM1.248 bilion masih bergantung kepada sokongan berterusan kerajaan, agensi atau syarikat induk untuk menyelesaikan obligasi kewangan masing-masing.

Daripada 641 syarikat persekutuan, 116 atau 18.1% dikenal pasti dorman, dengan 62 daripadanya berstatus demikian selama lima tahun atau lebih.

Anak syarikat KWAP catat kerugian

LKAN turut membangkitkan isu 10 daripada 19 anak syarikat Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mengalami kerugian berjumlah RM93 juta.

Liew berkata, enam daripada syarikat terbabit mencatatkan kerugian selama tiga tahun berturut-turut disebabkan tiga faktor, iaitu kadar penghunian bangunan yang rendah, struktur modal serta struktur pelaburan strategik.

Sebagai contoh, beliau merujuk CapsSquare Tower Sdn Bhd, pemilik Menara Caps Square, yang mencatatkan kadar penghunian sekitar 42% pada 2024.

Keadaan ini menjejaskan pendapatan sewaan syarikat secara langsung, sekaligus memberikan impak terhadap prestasi kewangannya.

Beliau berkata, beberapa anak syarikat mencatatkan kerugian akibat pembayaran faedah pinjaman pemegang saham daripada KWAP.

“Namun begitu, dari sudut operasi, syarikat-syarikat ini sebenarnya mencatat prestasi penghunian yang baik, malah mencapai kadar 100% dan menjana keuntungan sebelum mengambil kira kos faedah,” katanya.

Liew berkata, empat anak syarikat ditubuhkan dengan mengambil kira kecekapan cukai, khusus untuk membolehkan pengecualian cukai keuntungan modal jika berlaku pelupusan aset hartanah kelak.

“Pendekatan ini merupakan strategi pelaburan jangka panjang untuk mengoptimumkan pulangan bersih kepada dana dan melindungi nilai pelaburan secara menyeluruh.”

Author: admin