MAIPs beri sumbangan Ramadan, bantu rakyat Malaysia di Perancis

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail email pic 24226
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan sumbangan MAIPs kepada wakil Masjid Les Abeilles di Paris.

PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) tidak ketinggalan dalam melaksanakan tanggungjawabnya membantu rakyat Malaysia di luar negara menerusi beberapa sumbangan, termasuk menyokong program infaq sempena Ramadan.

MAIPs berkata pihaknya menyerahkan sumbangan berjumlah RM5,000 menerusi ‘Bantuan Ibnu Sabil’ kepada Kedutaan Besar Malaysia di Paris, bertujuan membantu rakyat Malaysia yang berdepan kesukaran.

Katanya, inisiatif itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab berterusannya dalam melaksanakan agihan Tabung Ibnu Sabil di luar negara melalui beberapa pejabat Perwakilan Malaysia yang terpilih.

“Sumbangan tersebut bertujuan membantu rakyat Malaysia di Perancis yang berdepan situasi kecemasan, terputus sumber sara diri atau terkandas untuk kembali ke tanah air atau meneruskan perjalanan,” katanya dalam kenyataan.

MAIPs juga turut menyalurkan sumbangan kecil berjumlah RM4,000 kepada Masjid Les Abeilles di Paris untuk dimanfaatkan untuk kebajikan ahli kariah dan golongan yang memerlukan di Masjid Les Abeilles.

Kedua-dua penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang merangkap Yang DiPertua MAIPs.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama anakanda-anakanda Baginda berdua iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Turut mengiring ialah Duta Besar Malaysia ke Perancis Eldeen Husaini Mohd Hashim, Setiausaha Pertama Mohd Nizam Halimi dan Setiausaha Kedua Shahidanshakir Abdul Wahab.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, sudah tiba masanya Perlis membuka peluang pelaburan kepada usahawan Perancis yang sedang giat mencari peluang baharu di pasaran Asia Tenggara, khususnya Malaysia.

“Antara sektor yang boleh diterokai bersama di Perlis adalah bidang pertanian moden, pendidikan berkualiti tinggi dan teknologi hijau,” titahnya.

Eldeen Husaini pula berkata pihaknya selepas ini berhasrat memperkenalkan negeri itu khususnya Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) kepada pelabur dari Perancis yang ingin mengembangkan perniagaan di Malaysia.

“Bagi sektor pendidikan, kita akan mempertimbangkan beberapa permohonan daripada calon mahasiswa dari universiti-universiti di Perancis yang berminat untuk menyertai Program Pertukaran Pelajar tempoh jangka pendek untuk menyambung pengajian di Perlis dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Author: admin