
PETALING JAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengsyorkan tindakan tatatertib terhadap seorang pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) kerana cuai hingga menyebabkan kecederaan kepada seorang peserta kursus pengendalian senjata api, dua tahun lalu.
Suruhanjaya itu berkata satu siasatan dijalankan ke atas aduan kecuaian dalam pengendalian latihan senjata api di Pusat Latihan Rela Wilayah Utara (PLRWU) yang mengakibatkan kecederaan seorang peserta kursus asas induksi pegawai Rela.
Katanya, penganjuran latihan senjata api oleh PLRWU pada 15 Nov 2024 itu juga didakwa tidak mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Siasatan mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 mendapati berlaku kecuaian oleh pegawai Rela bertugas sebagai pegawai lapang sasar dan pegawai tapak semasa latihan senjata api tersebut dijalankan.
“Pihak pengurusan PLRWU juga tidak mengemukakan laporan polis dan laporan rasmi kepada Ibu Pejabat Rela berhubung insiden tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, berlaku ketidakpatuhan terhadap Syarat Kelulusan Lesen/Permit Sementara Senjata Api yang dikeluarkan IPK Kedah yang mensyaratkan setiap penembak dibantu oleh pegawai polis.
Tambahnya, hasil siasatan EAIC dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib Rela dengan syor tindakan tatatertib terhadap pegawai yang terlibat atas kesalahan cuai menjalankan tugas di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002.
Suruhanjaya itu turut mengesyorkan pelaksanaan pemurnian dan semakan semula semua SOP berkaitan pengendalian dan latihan senjata api oleh Rela bagi memastikan ia sejajar dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
