
PETALING JAYA: Pengisytiharan sokongan Hamzah Zainudin bersama 18 Ahli Parlimen Bersatu kepada Perikatan Nasional (PN) yang kini diterajui PAS berisiko mencetuskan dilema baharu dalam gabungan itu, kata penganalisis.
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata sokongan itu mungkin memberi gambaran Hamzah dan penyokongnya mahu kekal bersama PN walaupun sebelum ini mengisytiharkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai ‘musuh nombor satu’.
Menurutnya, hubungan mesra dengan PAS yang kini mengetuai PN susulan pelantikan Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai pengerusi, dilihat sebagai pilihan terbaik buat Ahli Parlimen Larut itu serta wakil rakyat Bersatu yang berseteru dengan Muhyiddin.
“PAS dilihat banyak menyokong Hamzah sebelum ini, khususnya dalam lantikan ketua pembangkang. Namun, kenyataan beliau kini menjadi ‘musuh nombor satu’ Muhyiddin boleh mencetuskan dilema dan konflik baharu.
“Bersatu mungkin mendesak PAS supaya tidak menyokong Hamzah,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Hamzah, bekas timbalan presiden Bersatu yang dipecat pada 13 Feb lalu, berkata beliau bersama 18 lagi wakil rakyat parti itu menyuarakan sokongan kepada PN susulan pelantikan Samsuri sebagai pengerusi baharu gabungan tersebut.
Dalam kenyataan dikeluarkannya, Ahli Parlimen lain yang turut menyatakan sokongan termasuk Ronald Kiandee (Beluran), Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Ikhmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor) dan Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu).
Turut disenaraikan ialah Muslimin Yahaya (Sungai Besar), Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Khlir Mohd Nor (Ketereh), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Zakri Hassan (Kangar), Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik).
Mereka yang lain ialah Azahari Hassan (Padang Rengas), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Kalam Salan (Sabak Bernam) dan Islahuddin Abbas (Mersing).
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz semalam mendakwa Hamzah tidak lagi mewakili parti itu dan kini Ahli Parlimen bebas, selain tidak mempunyai kuasa mendakwa wakil rakyat lain bersamanya.
Menurutnya, kecuali Fathul Huzir, Azahari, Wan Saiful, Wan Fayhsal dan Saifuddin yang telah dipecat parti, selebihnya masih ahli Bersatu.
Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berpandangan pelantikan pengerusi baharu yang diharapkan dapat meredakan kemelut dalaman PN mungkin menambah kerumitan, berpunca daripada konflik dalaman Bersatu.
Beliau berkata sekiranya Hamzah dan kumpulannya dilihat mesra dengan PN, keadaan itu berpotensi mencetuskan perbalahan dengan Bersatu, khususnya berkaitan agihan kerusi.
“Mereka mungkin berebut kerusi untuk ditandingi pada PRU16. Jika konflik semakin bercelaru, tidak mustahil Bersatu akan keluar daripada PN.
“Tidak mustahil juga mereka akan bergerak secara solo dan bekerjasama dengan parti bukan Melayu lain,” katanya.
