Garis panduan seragam penganugerahan ijazah kelas pertama akan diperkenal

pelajar universiti
MQA kata satu garis panduan khusus bagi menyeragamkan definisi dan kriteria ijazah kelas pertama di semua IPT akan dikeluarkan pada Mei. (Gambar fail)

SHAH ALAM: Kerajaan akan memperkenalkan garis panduan baharu bagi menyeragamkan penganugerahan ijazah kelas pertama di semua institusi pengajian tinggi (IPT).

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir berkata langkah itu penting bagi memastikan wujud standard penilaian yang sama antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), khususnya dalam konteks pemberian pengecualian bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada graduan yang memperoleh ijazah kelas pertama.

Beliau berkata antara cabaran utama ketika ini ialah kekangan kewangan kerajaan memandangkan perbelanjaan tahunan bagi pengecualian tersebut melebihi RM300 juta.

“Kerajaan sebelum ini membuat keputusan di peringkat IPTA dahulu dan mungkin pada peringkat akan datang kita juga ingin mencadangkan sebagai permulaan di peringkat IPTN (negeri) dan juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sebelum melihat pelaksanaannya di IPTS.

“Isu yang timbul ialah bagaimana kita mengukur pelajar yang mendapat kelas pertama di IPTS kerana di IPTA sudah ada sistem yang jelas. Kita tidak mahu ada persepsi bahawa di satu tempat mudah mendapat kelas pertama dan di tempat lain sukar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada dialog anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, dihadiri 1,000 kepimpinan pelajar daripada IPTA, IPTS, politeknik dan kolej komuniti.

Zambry berkata beliau telah meminta Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) membuat penilaian menyeluruh bagi memastikan tiada diskriminasi terhadap pelajar IPTS, termasuk mereka daripada keluarga berpendapatan rendah yang menunjukkan prestasi akademik cemerlang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MQA Shatar Sabran berkata pihaknya akan mengeluarkan satu garis panduan khusus bagi menyeragamkan definisi dan kriteria ijazah kelas pertama di semua IPT.

“MQA akan menyelaras dan mengeluarkan satu garis panduan supaya semua kelas pertama yang ada dalam negara ini sama. Tidak ada lagi unsur menyatakan bahawa di satu tempat senang dapat kelas pertama, di tempat lain susah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata garis panduan itu dijangka dibentangkan kepada mesyuarat majlis MQA pada Mei ini, sebelum dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi.

Sebelum ini dalam pembentangan Belanjawan 2026, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju mengecualikan bayaran balik PTPTN kepada semua mahasiswa yang memperoleh ijazah sarjana muda kepujian kelas pertama di IPTA daripada keluarga pendapatan rendah dan menengah, yang akan memberi manfaat kepada hampir 6,000 peminjam dengan peruntukan RM90 juta setahun.

Author: admin