
PETALING JAYA: Kerajaan Sarawak tidak bersikap konfrontasi apabila memfailkan petisyen bagi menentukan kesahan dari segi Perlembagaan serta pemakaian berterusan tiga undang-undang persekutuan terhadap Sarawak, menurut Salleh Said Keruak, berlatarkan pertikaian dengan Petronas mengenai hak minyak dan gas.
Bekas ketua menteri Sabah itu berkata, apa yang bermula sebagai perbezaan berhubung kawal selia kini berkembang menjadi ‘isu yang lebih asas’, melibatkan asas undang-undang berkenaan hak-hak Petronas, serta keseimbangan kuasa antara kerajaan persekutuan dan negeri-negeri.
“Membawa isu ini ke mahkamah tidak seharusnya dilihat sebagai konfrontasi, sebaliknya keyakinan pada kedaulatan undang-undang,” katanya di Facebook.
“Petronas kekal sebagai institusi nasional yang penting, dan sumbangannya kepada ekonomi adalah signifikan. Pada masa sama, kejelasan mengenai hak-hak negeri akan memberikan kepastian pada masa depan.
“Akhirnya, matlamatnya adalah keadilan — memastikan sumber negara diurus secara bertanggungjawab dengan cara yang memperkukuh persekutuan dan memberi manfaat kepada rakyat.”
Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963, dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, mengumumkan kerajaan negeri memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan berhubung Akta Pembangunan Petroleum, Akta Pelantar Benua serta Akta Perlombongan Petroleum.
Sharifah Hasidah dipetik Utusan Borneo sebagai berkata, akta-akta tersebut menjejaskan hak Sarawak terhadap sumber semula jadi, termasuk minyak dan gas yang ditemui di dasar laut pelantar benua dalam sempadan yang ditakrifkan melalui ‘Sarawak (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954’ dan ‘Sarawak (Definition of Boundaries) Order in Council 1958’.
Beliau juga mengumumkan kerajaan Sarawak akan membantah permohonan Petronas untuk mendapatkan kebenaran memohon kepada Mahkamah Persekutuan bagi mencabar kesahan beberapa undang-undang negeri yang mengawal selia operasi petroleum, perniagaan dan aktiviti lain syarikat itu di Sarawak.
Petronas memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan pada 10 Jan, bertujuan memastikan operasinya di Sarawak mematuhi semua undang-undang dan amalan tadbir urus yang terpakai.
