Jawatankuasa klasifikasi kuil ikut 4 kategori warna

Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman
Jawatankuasa Pemandu Kuil Hindu Kebangsaan berkata ia akan meneroka pilihan seperti membantu pembelian tanah oleh pihak kuil atau mendapatkan tanah daripada kerajaan.

PETALING JAYA: Jawatankuasa Pemandu Kuil Hindu Kebangsaan akan membantu kuil yang berdepan isu pendaftaran dan undang-undang menerusi sistem klasifikasi empat warna berdasarkan status tanah rumah ibadat berkenaan.

Dalam kenyataan selepas mesyuarat Sabtu lalu di ibu pejabat Malaysia Hindu Sangam, jawatankuasa itu menegaskan mandatnya ‘bukan untuk mendaftarkan kuil secara sewenang-wenangnya tetapi membantu mereka mengenal pasti laluan paling sesuai dan mematuhi undang-undang ke arah penyeragaman’.

“Isu kuil tidak berdaftar semakin membimbangkan dan jika tidak diurus dengan baik, perkara ini boleh menjejaskan keharmonian sosial serta berpotensi membawa implikasi lebih besar kepada negara,” katanya.

Di bawah rangka kerja itu, kuil kategori hijau ialah kuil yang mempunyai dokumentasi lengkap dan sah, termasuk status warta serta pemilikan tanah atau kelulusan sewajarnya, dan dianggap telah diseragamkan sepenuhnya.

Kuil kategori kuning pula ialah kuil yang menduduki tanah persendirian atau tanah diperuntukkan bagi rumah ibadat bukan Islam (Ribi), tetapi belum memperoleh status warta atau dokumen hak milik tanah yang teratur.

Kuil kategori oren merangkumi kuil di atas tanah kerajaan, tanah milik agensi kerajaan, tanah persendirian atau tanah estet tetapi mempunyai kelulusan atau perjanjian dengan pemilik tanah berkenaan.

Bagi kes ini, jawatankuasa akan meneroka pilihan seperti memudah cara pembelian tanah oleh pihak kuil atau membantu mendapatkan tanah Ribi daripada kerajaan.

Kuil kategori merah pula ialah kuil yang tidak mempunyai sebarang dokumentasi, kelulusan atau perjanjian daripada pemilik tanah. Jawatankuasa berkata antara penyelesaian yang boleh dipertimbangkan ialah bergabung dengan kuil berdaftar sedia ada jika sesuai.

Jawatankuasa itu juga merancang untuk bertemu dengan perdana menteri serta menteri berkaitan, termasuk menteri perpaduan negara dan menteri perumahan serta kerajaan tempatan, bagi memastikan tindakan selaras.

Setakat ini, kira-kira 450 kuil telah memberi maklum balas terhadap tinjauan di seluruh negara yang dijalankan jawatankuasa berkenaan.

Jawatankuasa itu turut menyeru baki kuil supaya mengemukakan maklumat masing-masing.

Sebelum ini, jawatankuasa itu menyatakan banyak kuil terbabit wujud sebelum rangka kerja perancangan dan pentadbiran tanah moden diperkenalkan, sekali gus menimbulkan kerumitan dari segi perundangan dan pentadbiran.

Ia juga menggesa kerajaan mengenakan moratorium enam bulan terhadap perobohan kuil yang didakwa dibina tanpa kebenaran bagi membolehkan proses pengesahan, libat urus dan penerokaan penyelesaian dilaksanakan dengan teratur.

Author: admin