Exco Terengganu ditahan berkait salah guna kuasa

sprm macc
Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang exco kerajaan Terengganu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki salah guna jawatan dan kedudukan.

Suspek disyaki mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri itu.

Sumber berkata, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an ditahan kira-kira 11.15 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman.

Katanhya, siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada 2018 dan 2020.

“Suspek yang juga Adun salah sebuah daerah di negeri ini dipercayai menggunakan jawatan dan kedudukannya sebagai exco dan pengerusi lembaga pengarah sebuah syarikat untuk mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di dua anak syarikat kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Katanya, suspek akan dituduh dalam masa terdekat.

Author: admin