
PETALING JAYA: Hayat politik Muhyiddin Yassin tidak boleh dianggap sudah berakhir walaupun Bersatu bergolak, kata seorang penganalisis yang turut menyuarakan keyakinan presiden parti yang kini dilanda masalah itu mampu bangkit mengatasi ketidakpastian yang sedang berlaku.
Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya, berkata tindakan membisu Muhyiddin — di tengah-tengah desakan supaya melepaskan jawatan presiden susulan pemecatan Timbalan Presiden Hamzah Zainudin — tidak sepatutnya disalah anggap sebagai kelemahan.

“Kita tidak boleh memandang rendah mahupun mengetepikan Muhyiddin. Pengalaman politik luas menjadikan beliau jauh lebih berdaya tahan daripada disangkakan kebanyakan orang,” kata Awang Azman kepada FMT, sambil merujuk kejayaan mengejut Muhyiddin merangkul jawatan perdana menteri pada 2020.
Muhyiddin dilantik perdana menteri kelapan negara susulan peletakan jawatan mengejut Dr Mahathir Mohamad.
Awang Azman berkata, menjadi satu kesilapan terutamanya bagi mereka yang memihak kepada Hamzah mengandaikan Muhyiddin dan Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali tidak akan mampu bertahan daripada tekanan dalaman.
“Mereka tidak akan berdiam diri. Kedua-duanya adalah pejuang,” katanya sambil menyifatkan kebuntuan semasa sebagai detik ‘hidup mati’ Muhyiddin, yang dikatakan sedang berusaha mendapatkan semula jawatan pengerusi PN.
Awang Azman berkata, Muhyiddin cukup menyedari beliau tidak lagi menikmati tahap sokongan yang sama daripada PAS, namun beliau nekad untuk kembali menguasai parti dan memperkukuhkannya, dengan melantik ketua bahagian yang sehaluan.
Namun, beliau mengakui Muhyiddin berisiko kehilangan sokongan akar umbi susulan pemecatan Hamzah, sekali gus mencetuskan siri peletakan jawatan dalam kalangan pemimpin bahagian.
“Ini mencerminkan keresahan yang lebih mendalam dan kepercayaan yang lebih besar kepada Hamzah di peringkat akar umbi,” katanya.
Awang Azman berkata, Muhyiddin harus bertindak pantas mengisi kekosongan yang wujud bagi mengelakkan hakisan keyakinan yang lebih teruk dalam kalangan akar umbi.
Dalam pada itu, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara, berkata seruan Hamzah untuk ‘reset’ politik secara meluas ditafsirkan langkah ke arah pembentukan parti baharu.
Bagaimanapun, beliau berkata tindakan sedemikian akan mengundang tuduhan bahawa Hamzah bertindak demi kepentingan peribadinya dan boleh melemahkan sokongan terhadapnya dalam Bersatu.
“Dari segi politik, ia boleh menjadi satu langkah menamatkan kerjayanya,” kata Azmi.
‘Boleh keluar kalau itu mereka mahu’
Di peringkat bahagian, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu merangkap Ketua Bahagian Tanjung Malim, Yadzan Mohammad, berkata ahli tidak sehaluan dengan Muhyiddin sepatutnya berundur.
“Jika itu mereka mahu, mereka boleh keluar. Kami akan susun semula parti,” katanya kepada FMT.
Namun, beliau berkata, bahagian tidak boleh dibubarkan secara sepihak. Hanya kepimpinan pusat yang mempunyai kuasa untuk membubarkan sesebuah bahagian, tambahnya.
Yadzan menepis dakwaan mengenai pembelotan beramai-ramai daripada parti, dengan menyuatakan bahagian seperti Pasir Salak berbelah bahagi kesetiaan mereka, tetapi Muhyiddin terus menikmati sokongan kuat.
“Saya tidak mahu beliau berada dalam parti jika mahu pecah-belahkan parti,” katanya merujuk kepada Hamzah.
Ketua Bahagian Bersatu Maran, Jasri Jamaludin, senada dengan pandangan Yadzan sambil menepis dakwaan beberapa pemimpin bahagian bahawa bahagian mereka telah dibubarkan sebagai tidak berasas.
Beliau berkata, perlembagaan parti jelas memberikan kuasa sedemikian khusus kepada kepimpinan pusat, bukannya kepada jawatankuasa bahagian yang bertindak secara sepihak.
Sementara itu, Adun Jeram, Harrison Hassan, yang juga ketua bahagian Kuala Selangor, berkata perselisihan dalaman tidak dapat dielakkan dalam sebuah parti yang mempunyai hampir 200 bahagian, namun disiplin mesti diutamakan.
Beliau berkata, Bersatu kini mesti menumpukan usaha membina semula parti bagi berdepan pilihan raya.
