
KUALA LUMPUR: Lapangan terbang sering kali sinonim dengan kepadatan manusia, barisan panjang, serta keresahan mencari pintu pelepasan tepat pada waktunya.
Namun, di Terminal 2 KLIA, tekanan yang biasa dirasai itu kini kian memudar, digantikan dengan suasana yang lebih tenang, selesa, dengan sentuhan lebih mesra.
Tatkala Malaysia Airports bersiap sedia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), Terminal 2 telah melalui fasa transformasi penuh bermakna, yang mementingkan aspek kemanusiaan setanding dengan kecekapan proses.
Daripada ruang yang kini lebih segar hinggalah kepada kemudahan baharu, matlamatnya cukup jelas: untuk menjadikan kembara lebih lancar dan inklusif.
Menurut Pengurus Besar Terminal 2 KLIA Shahrunnizam Abd Jamil, tumpuan kini terarah kepada penelitian semula setiap detik perjalanan penumpang, bermula dari saat ketibaan sehinggalah ke pelepasan.
“Seperti yang kita sedia maklum, jumlah penumpang kian meningkat saban tahun, terutamanya pada musim puncak dan perayaan,” katanya.
“Dengan memperkemas proses ini, kami berharap dapat meningkatkan keselesaan penumpang serta memberi layanan terbaik kepada kapasiti yang diperlukan. Ini bagi memastikan aliran kembara yang lebih lancar,memastikan penumpang menikmati pengalaman kembara yang terbaik.”

Sentuhan reka bentuk berpaksikan keluarga dan keterangkuman
Menjelang musim cuti sekolah dan sambutan perayaan, golongan keluarga kekal menjadi antara kumpulan pengguna terbesar di lapangan terbang.
Menyedari hakikat ini, Malaysia Airports mengambil langkah proaktif dengan menjadikan aspek keterangkuman sebagai nadi utama dalam setiap fasa penambahbaikan mereka.
Antara pembaharuan yang paling menyerlah ialah pengenalan ‘Calm Room’, di bawah inisiatif ‘Butterfly Effect’.
Ruang ini direka khas sebagai zon perlindungan yang mesra deria, menawarkan suasana tenang dengan pencahayaan yang mendamaikan serta kelengkapan perabot yang lembut.
Ciri sentuhan yang disediakan juga bertujuan membantu penumpang dengan keperluan khas, sama ada dari segi fizikal mahupun mental, bagi menguruskan tekanan serta rangsangan deria yang berlebihan.
Selain itu, sokongan mobiliti turut diperluas dengan penyediaan 50 kerusi roda percuma di lokasi-lokasi strategik. Perkhidmatan ‘buggy’ turut disediakan di kawasan domestik untuk memudahkan pergerakan warga emas serta mereka yang memerlukan bantuan tambahan.
Bagi keluarga dengan anak kecil pula, 150 kereta sorong bayi percuma yang diperkenalkan bermula September 2025 turut tersedia.

Keselesaan jadi keutamaan
Di Terminal 2, keselesaan kini bukan lagi sekadar pelengkap. Di Balai Berlepas Antarabangsa (Pintu L), ruang menunggu yang dahulunya tertutup kini berwajah baharu dengan konsep ‘lounge’ terbuka.
Dengan koridor yang dilebarkan serta susunan tempat duduk yang luas, ruang ini disulami rona hangat dan motif songket yang halus, mewujudkan sebuah ruang moden yang kental dengan identiti Malaysia.
Bagi memastikan pengembara kekal selesa sepanjang tempoh menunggu, akses kepada pilihan makanan kini dipermudah di lokasi strategik.
Selain itu, bagi pengembara Muslim, 24 daripada 40 buah surau kini dilengkapi sistem pencahayaan serta permaidani baharu untuk pengalaman ibadah yang lebih mendamaikan.
Kemudahan asas juga tidak dilupakan dengan menaik taraf 10 tandas penumpang yang kini tampil dengan lebih banyak kubikel serta fasiliti lebih baik.
Pengembara transit yang mempunyai waktu senggang lebih lama boleh melepaskan lelah di ruang menonton wayang yang telah ditambah baik, menawarkan istirahat yang amat dialu-alukan. Memetik kata-kata Shahrunnizam, “Walau seminit boleh dirasakan lama apabila kita menunggu.”
Sementara itu, balai menunggu P dan Q juga telah diperkemas dengan permaidani empuk serta kepelbagaian pilihan makanan dan runcit, yang menyaksikan jumlah keseluruhan premis di terminal ini mencecah 23 buah menjelang akhir 2025.
Kembara lebih lancar, sistem lebih pintar
Di sebalik tabir, aspek kecekapan kekal menjadi keutamaan. Bagi menangani isu kesesakan, 7,500 unit troli bagasi baharu telah disediakan bagi menggantikan unit lama. Menariknya, troli ini direka khusus untuk digunakan di kawasan terminal yang bercerun, menawarkan ciri keselamatan yang lebih baik serta penggunaan lebih mudah.
Kiosk ‘Open Belt Bag-Drop’ serta sistem serahan bagasi layan diri yang telah dinaik taraf menjadikan urusan daftar masuk dan serahan beg lebih lancar, boleh diselesaikan dalam tempoh hanya beberapa minit.
Papan tanda yang lebih jelas kini ditempatkan pada paras mata di sekitar kaunter daftar masuk, memudahkan penumpang mencari arah dengan lebih pantas di kawasan yang padat.

Khidmat kecemasan perubatan 24/7
Aspek keselamatan turut diperkasakan menerusi pengenalan pasukan paramedik menaiki skuter elektrik (e-skuter). Pasukan tindak balas pantas ini, yang dibekalkan dengan tangki oksigen serta peranti AED, ditempatkan di lokasi-lokasi strategik bagi memberikan bantuan serta-merta ketika berlaku kecemasan perubatan.
Menjiwai identiti tempatan
Melangkaui sekadar fungsi asas, Terminal 2 turut menjiwai peranannya sebagai gerbang kebudayaan. Perincian seni bina yang diinspirasikan oleh warisan Malaysia, ditambah pula dengan pameran kebaya oleh Kraftangan Malaysia, menawarkan pengembara gambaran sekilas tentang kehalusan kraf dan identiti tempatan.
Menurut Shahrunnizam, segala usaha ini merupakan sebahagian kolaborasi lebih luas bersama Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, ketika negara meneruskan usaha menjayakan TMM 2026.

Perubahan yang mula dirasai pengembara
Reaksi awal pengembara menunjukkan bahawa perubahan yang dilaksanakan benar- benar mendekati hati mereka.
Ishida, seorang pengembara Jepun yang dalam perjalanan ke Hanoi, menyifatkan ruang ‘lounge’ di terminal ini sebagai cukup selesa dan mesra pengunjung.
Pengembara dari Kanada, Jared McGeough, turut memuji suasana terminal yang kini lebih terang dan luas, manakala isterinya, Shannon, sangat menghargai pilihan tempat duduk yangvempuk serta kemudahan makanan, keselesaan ringkas yang menjadikan waktu menunggu yang lama tidak lagi terasa begitu membebankan.
Beliau turut menyebut motif songket yang halus dirasakan ‘menjiwai identiti setempat’ menyuntik elemen budaya Malaysia ke dalam pengalaman kembara mereka.
Dengan tumpuan baharu terhadap aspek keselesaan, keterangkuman dan kecekapan, Terminal 2 KLIA mendefinisikan semula makna kembara yang berkualiti. Ia menawarkan penumpang bukan sekadar tempat untuk transit, tetapi sebuah ruang untuk berhenti seketika, menarik nafas lega dan merasa benar-benar dihargai.
