
PETALING JAYA: Bekas ketua hakim negara, Abdul Hamid Mohamad, meninggal dunia pada usia 83 tahun.
Hamid dilahirkan di Kepala Batas, Pulau Pinang, menyertai perkhidmatan kehakiman dan perundangan pada Mei 1969, di mana beliau berkhidmat selama 21 tahun.
Sepanjang tempoh itu, beliau pernah berkhidmat sebagai majistret, presiden Mahkamah Sesyen, penolong pengarah Biro Bantuan Guaman, dan timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi.
Beliau dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada 1992, dan dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan pada 2002.
Allahyarham dilantik hakim Mahkamah Persekutuan setahun kemudian.
Pada September 2007, Hamid dilantik sebagai presiden Mahkamah Rayuan, sebelum dinamakan sebagai ketua hakim negara pada 11 Disember tahun sama.
Beliau bersara pada Oktober 2008.
Bekas hakim rayuan, Hamid Sultan Abu Backer, memuji Hamid sebagai seorang hakim yang mempunyai pengetahuan khusus dalam undang-undang sivil dan syariah.
Hamid juga merintis jalan bagi dokumen perbankan Islam untuk mendapatkan keabsahan kontrak selaras dengan undang-undang lazim dan Akta Kontrak, katanya.
Hamid Sultan Abu Backer, yang berkhidmat sebagai pesuruhjaya kehakiman semasa Hamid bertugas sebagai ketua hakim negara, berkata bahawa ‘buat kerja’ adalah frasa pemacu utama yang diperjuangkannya untuk menggerakkan badan kehakiman bagi memenuhi obligasi awam dalam menyelesaikan tunggakan kes yang terlalu banyak.
BERITA LANJUT MENYUSUL
