
PETALING JAYA: Sayap Bersekutu Bersatu kekal teguh dan tidak berbelah bahagi menyokong Presiden Muhyiddin Yassin, kata naib ketua sayap itu, R Sri Sanjeevan.
Katanya, Bersekutu Bersatu menegaskan sayap berkenaan kekal kukuh, tersusun, dan berfungsi seperti biasa dengan keanggotaan melebihi 30,000 ahli di seluruh negara.
“Pengumuman peletakan jawatan beberapa individu termasuk Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Dr Chong Fatt Full, baru-baru ini, kami menghormati keputusan tersebut sebagai pilihan peribadi.
“Dalam mana-mana organisasi besar, keluar masuk ahli adalah perkara biasa ibarat sebuah keluarga besar ada yang datang, ada yang pergi, namun rumahnya tetap berdiri teguh,” katanya dalam kenyataan.
Pada 14 Feb, Chong memberitahu FMT bahawa ramai pemimpin sayap itu di peringkat negeri dan bahagian dijangka akan meletak jawatan, ‘dengan gelombang keluar ahli secara besar-besaran dilihat bakal berlaku’.
Dalam pada itu, Sanjeevan turut menzahirkan sokongan ke atas kepimpinan Muhyiddin sebagai tonggak utama membina asas perjuangan parti sejak hari pertama.
“Sebarang cubaan, gerakan tersusun atau konspirasi untuk menjatuhkan presiden bukan sahaja tidak berasas, malah akan ditentang habis-habisan oleh seluruh kepimpinan dan ahli sayap Bersekutu.”
Katanya, perjuangan dalam Bersatu tidak bergantung kepada emosi atau nafsu individu tertentu, sebaliknya berpaksikan prinsip, kesetiaan, dan disiplin organisasi.
“Kami mendoakan yang terbaik buat mereka yang memilih haluan berbeza. Sayap Bersekutu Bersatu akan terus melangkah ke hadapan
dengan matang, profesional,dan tenang.”
Pada 13 Feb, Bersatu memecat 17 pemimpinnya yang merangkumi empat Ahli Parlimen, termasuk Timbalan Presiden Hamzah Zainudin yang juga ketua pembangkang, dua Adun, 10 ketua bahagian, serta Nabila Norsahar, ketua sayap Wanita Muda Bersatu Sabah.
Tiga lagi Ahli Parlimen yang dipecat ialah Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob, Ahli Parlimen Padang Rengas Azahari Hasan, dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan telah digantung keahlian sejak Oktober.
Dua lagi ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang dipecat ialah Zainol Fadzi Paharudin, juga Adun Sungai Manik selama empat penggal, serta Dr Yadzil Yaakub, ketua pembangkang Melaka.
