
BUTTERWORTH: Bersatu Kepala Batas dan Tanjong yang keseluruhannya mempunyai hampir 3,000 ahli mengumumkan pembubaran dan peletakan jawatan beramai-ramai, atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden Muhyiddin Yassin.
Ketua Kepala Batas, Khaliq Mehtab Ishaq, berkata ahl akan menyokong kepimpinan bekas timbalan presiden, Hamzah Zainudin, bawah satu platform politik yang bakal diumumkan kelak.
“Perpaduan Melayu adalah penting, dan orang Melayu merasa tertekan serta akan menyokong wadah perjuangan yang mendengar suara mereka,” kata bekas Adun Pulau Pinang itu.
“Kapalnya sudah ada; kita hanya menunggu untuk berlayar. Hamzah tidak akan meninggalkan anda semua, dan PAS tidak akan meminggirkan kita.”
Khaliq berkata, terdapat perancangan untuk bergerak ke hadapan di bawah ‘platform baharu’, namun beliau tidak boleh mendedahkan butirannya.
“Malangnya, Muhyiddin telah gagal memahami keadaan, dan Bersatu telah tersasar dari haluan,” katanya ketika berucap kepada kira-kira 50 ahli dalam satu majlis di Penang Golf Resort di Bertam.
Ketua Tanjong, Hafizah Taib, berkata tiada seorang pun daripada 1,300 ahlinya yang ditekan untuk berhenti dan semua bersetuju untuk membubarkan bahagian tersebut.
“Akar umbi adalah tulang belakang parti. Kita tidak boleh setia secara membuta tuli apabila kita melihat kegagalan dalam mengemudi parti ke arah yang betul,” katanya.
Sejak Hamzah dan 16 pemimpin Bersatu yang lain dipecat pada Jumaat, beberapa bahagian mengumumkan pembubaran termasuk Bersatu Balik Pulau dengan kira-kira 2,000 ahli semalam.
Laporan media semalam menyatakan, Bersatu Lembah Pantai dan Larut turut mengumumkan pembubaran berkuat kuasa serta-merta, juga atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Muhyiddin.
Bagaimanapun, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Razali Idris, berkata hanya majlis tersebut mempunyai kuasa untuk membubarkan bahagian dan cawangan.
