
PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan sedang berunding dengan Kementerian Kewangan mengenai keputusan kerajaan membekukan sebahagian dana bagi perbelanjaan pengoperasian Angkatan Tentera (ATM).
Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, berkata pihaknya sudah dipanggil bagi membincangkan perkara yang mungkin perlu diberi perhatian segera supaya keputusan diambil tidak menjejaskan operasi serta tahap kesiapsiagaan ATM.
“Perkara ini sedang dalam perundingan. Kita tidak mahu ia menjejaskan operasi dan siap siaga ATM,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Skuadron Rapid Rail, 50 Renjimen Pakar Keretapi Renjimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Askar Wataniah (AW) di Menara Prasarana.
Beliau mengulas perkembangan berhubung status pembekuan sementara semua kelulusan kontrak perolehan ketenteraan.
Khaled berkata, walaupun sebahagian dana dibeku, kementeriannya memberi jaminan operasi ATM akan terus berjalan lancar.
“Operasi berjalan seperti biasa dan soal siap siaga ATM akan terus kita pertahankan,” katanya.
Pembekuan sementara itu dibuat bulan lalu susulan isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan beberapa pegawai tinggi ATM.
Pada 16 Jan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa semua kelulusan kontrak perolehan ketenteraan dibekukan sehingga proses itu disemak bagi memastikan peraturan dipatuhi sepenuhnya.
Anwar berkata, walaupun kerajaan tidak akan campur tangan dalam siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tindakan ‘tegas dan menyeluruh’ perlu diambil.
Sementara itu, mengenai penularan maklumat sulit perjawatan strategik ATM, Khaled berkata siasatan dijalankan polis, bukannya Kementerian Pertahanan.
Beliau memaklumkan setakat ini belum menerima makluman lanjut berhubung kes itu.
“Perkara itu disiasat polis, bukan kementerian. Soalan perlu ditujukan kepada pihak yang menyiasat,” katanya.
