
PETALING JAYA: Isu rumah ibadat didakwa menceroboh tanah awam atau persendirian selain dibina tanpa kelulusan pihak berkuasa mencetuskan perbahasan berhubung penguatkuasaan wajar serta kesan terhadap keharmonian masyarakat.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan sebarang tindakan mesti berasaskan undang-undang dan dilaksanakan pihak berkuasa yang berkenaan, sambil menegaskan orang awam tidak seharusnya mengambil tindakan sendiri.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pula menyeru semua pihak saling menghormati dalam menangani isu sensitif seperti itu bagi mengelakkan salah faham dan mengekalkan perpaduan negara.
Di Selangor, Menteri Besar Amirudin Shari menjelaskan prosedur perlu diikuti pemilik tanah persendirian jika berlaku pencerobohan rumah ibadat di atas tanah mereka.
Pemilikan tanah tentukan hak menduduki
Peguam M Thayalan menekankan pertikaian sedemikian pada asasnya bersifat perundangan dan harus diselesaikan melalui proses sivil sewajarnya.
Menurutnya, persoalan utama dalam kebanyakan kes sama ada rumah ibadat berkenaan mempunyai hak sah menduduki tanah terbabit.
Beliau berkata, pertikaian itu lazimnya melibatkan pemilik tanah dan pihak menduduki tanah yang tidak semestinya kesalahan jenayah.
“Jika struktur itu dibina di atas tanah yang bukan milik rumah ibadat itu, maka ia menjadi satu masalah,” katanya kepada FMT.
Thayalan berkata, pendudukan berpanjangan sahaja tidak secara automatik memberikan hak milik atau pemilikan sah dari segi undang-undang.
Katanya, apabila pemilik tanah ingin mendapatkan semula pemilikan, Seksyen 7 Akta Relief Spesifik 1950 dan Aturan 89 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 memperuntukkan mekanisme untuk mendapatkan perintah mahkamah.
Kelulusan pihak berkuasa tempatan
Sementara itu, Thayalan juga berkata, rumah ibadat tetap tertakluk kepada undang-undang perancangan dan pembinaan, walaupun isu pemilikan tanah tidak dipertikaikan.
Katanya, semua pembangunan termasuk rumah ibadat memerlukan kelulusan pihak berkuasa tempatan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Jelasnya, kegagalan mendapatkan kelulusan perancangan atau mematuhi undang-undang kecil boleh melanggar undang-undang sivil, bukan kesalahan jenayah.
“Tiada unsur jenayah di situ. Ia pelanggaran undang-undang sivil iaitu menduduki tanpa kebenaran dan tidak mematuhi keperluan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Namun, beliau menimbulkan persoalan sama ada pihak berkuasa tempatan pernah mengambil tindakan atau menangani permasalahan bagi struktur telah lama wujud.
Imbang kedaulatan undang-undang, kebebasan beragama
Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak untuk menganut dan mengamalkan agama, namun hak itu tertakluk kepada undang-undang berkaitan ketenteraman awam, kesihatan awam dan moral, serta tidak mengecualikan mana-mana pihak daripada mematuhi peraturan tanah dan perancangan.
Thayalan menegaskan, piawaian undang-undang yang sama mesti diguna pakai terhadap semua rumah ibadat tanpa mengira agama.
Beliau mengakui rumah ibadat yang telah lama wujud sering mempunyai nilai sentimental kepada komuniti setempat.
“Tidak dinafikan ini isu yang sangat sensitif, tetapi kita tidak boleh membiarkan emosi atau sentimen mengatasi undang-undang,” katanya.
Keharmonian sosial melalui penyelesaian berunding
Thayalan bersetuju tindakan penguatkuasaan terhadap rumah ibadat boleh memberi kesan sosial yang lebih luas, khususnya dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, di mana sesetengah struktur telah wujud selama beberapa dekad.
Langkah tegas seperti perobohan, walaupun sah dari segi undang-undang, berisiko mencetuskan ketegangan kaum atau agama jika tidak ditangani secara berhati-hati.
Beliau berkata, rumah ibadat tidak mempunyai kelulusan sewajarnya berusaha mendaftarkan bangunan itu melalui cara sah, termasuk berunding dengan pemilik tanah, membeli atau menyewa tanah, atau mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa tempatan.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa memastikan semua prosedur dipatuhi dan mengelakkan tindakan unilateral atau tergesa-gesa yang boleh memburukkan keadaan.
“Pada akhirnya, kita semua mahu negara ini ditadbir berasaskan kedaulatan undang-undang. Sebagai rakyat yang patuh undang-undang dan bertanggungjawab, proses sewajarnya perlu dihormati,” katanya.
