
KUALA LUMPUR: Polis mengeluarkan 720 saman dan menyita 70 motosikal atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu sempena Op Selamat 25 di sekitar pusat bandar, awal pagi tadi.
Operasi itu dijalankan di beberapa lokasi tumpuan termasuk Jalan Tun Razak, Jalan Ipoh (hala Chow Kit dan Sentul) serta Jalan Raja Laut dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Zamzuri Mohd Isa, berkata pihaknya turut mengesan pelbagai pengubahsuaian tidak mengikut spesifikasi termasuk tayar diubah suai, tiada brek, nombor pendaftaran diubah serta penggunaan ekzos bising.
“Kira-kira 70 motosikal disita atas pelbagai kesalahan termasuk pengubahsuaian melampau, manakala hampir 40 kereta turut diambil tindakan.
“Sebanyak 720 saman dikeluarkan sepanjang operasi fasa pertama dan kedua yang masih berjalan,” katanya.
Dalam operasi sama, beliau berkata antara individu paling muda yang ditahan membabitkan seorang remaja berusia 16 tahun.
Menurutnya, seorang penunggang juga dikesan cuba meloloskan diri daripada sekatan dan melanggar kenderaan polis sebelum individu terbabit melarikan diri.
“Kita akan bawa balik motosikal ke balai dan pemiliknya akan dikesan,” katanya.
Sementara itu, Zamzuri berkata operasi bermula 10 malam hingga 4 pagi tadi turut menahan empat individu ditahan kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah
“Empat terlibat dengan dadah, iaitu tiga orang didapati positif ganja dan seorang positif methamphetamine,” katanya.
