
PETALING JAYA: Dr Chong Fat Full dijangka meletak jawatan sebagai ketua sayap bersekutu Bersatu, manakala bekas speaker Dewan Negara Rais Yatim berundur daripada mengetuai jawatankuasa dalam parti itu susulan pemecatan 17 pemimpin parti, termasuk Timbalan Presiden Hamzah Zainudin.
Chong menjawab ringkas ‘ya’ apabila ditanya sama ada beliau juga akan menyerahkan peletakan jawatannya.
Beliau turut memberitahu FMT bahawa ramai pemimpin sayap itu di peringkat negeri dan bahagian dijangka akan meletak jawatan, ‘dengan gelombang keluar ahli secara besar-besaran dilihat bakal berlaku’.
Semalam, Tan Lek Khang mengumumkan di Facebook peletakan jawatannya sebagai ketua sayap bersekutu Johor dan ketua bahagian sayap bersekutu Labis, serta keluar daripada parti.
Sementara itu, Rais mengesahkan beliau telah meletak jawatan sebagai pengerusi jawatankuasa Bersatu yang ditubuhkan untuk memperkukuh perpaduan dalam parti.
“Ya, saya telah letak jawatan. Usaha terakhir saya untuk mempertemukan presiden dan timbalannya dalam perbincangan tertutup tidak dipersetujui oleh presiden.
“Ia menjadikan tugas saya sebagai pengerusi jawatankuasa itu sia-sia,” kata Rais kepada FMT.
Semalam, Bersatu memecat 17 pemimpinnya yang merangkumi empat Ahli Parlimen, termasuk Hamzah yang juga ketua pembangkang, dua Adun, 10 ketua bahagian, serta Nabila Norsahar, ketua sayap wanita muda Bersatu Sabah.
Tiga lagi Ahli Parlimen yang dipecat ialah Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob, Ahli Parlimen Padang Rengas Azahari Hasan dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan telah digantung keahlian sejak Oktober.
Dua lagi ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang dipecat ialah Zainol Fadzi Paharudin, juga Adun Sungai Manik selama empat penggal, serta Dr Yadzil Yaakub, ketua pembangkang Melaka.
Zainol berkata parti itu turut menamatkan keahlian Bersatu beberapa ketua bahagian lain.
Mereka ialah Zulkifli Bujang (Johor Bahru), Yunus Nurdin (Libaran), Yunus Yusop (Tapah), Kamaruddin Majid (Teluk Intan), Hassuandi Hamzah (Larut), Ahmad Ishak (Gopeng), Abdul Aziz Ismail (Dungun), Ahmad Nasir Mid (Selayang), Shafiq Halim (Hulu Langat) dan Ramlan Meon (Tangga Batu).
Difahamkan kesemua mereka dipecat kerana melanggar peruntukan perlembagaan parti yang menetapkan ahli Bersatu mesti mematuhi perlembagaan, kod etika dan tatakelakuan parti.
Mengikut perlembagaan parti, semua yang dipecat boleh membuat rayuan dalam tempoh 14 hari.
