Kritikan dalam Bersatu petunjuk IPR tidak libat akar umbi, kata penganalisis

Muhyiddin Yassin
Bulan lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat IPR ketika perselisihan dengan PAS mengenai jawatan pengerusi PN masih berterusan.

PETALING JAYA: Kritikan pemimpin bahagian Bersatu berhubung Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) menunjukkan kerjasama longgar itu bukan gerakan menyeluruh melibatkan akar umbi parti, menurut penganalisis.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, berkata pertikaian itu mengukuhkan pandangan penganalisis bahawa IPR ‘pelan sementara’ Presiden Muhyiddin Yassin menghadapi ketidakstabilan hubungan dengan rakan sekutu dalam Perikatan Nasional.

“Pertikaian oleh pemimpin bahagian Bersatu terhadap IPR menandakan lebih daripada sekadar kritikan kepada satu projek politik,” katanya.

“Ia menggambarkan perlunya penilaian semula strategi parti agar lebih berakar umbi dan kurang berasaskan survival politik semata-mata.”

Semalam, Ketua Bersatu Lembah Pantai Muqharabbin Mokhterruddin berkata gerakan menghidupkan IPR akan menyulitkan keadaan kerana parti-parti PN akan dan sudah pun menuntut kerusi.

Beliau berkata kerajsama wajar dijalin dengan parti-parti yang ada kerudi di DUN dan Parlimen, dan Bersatu tidak boleh membiarkan PAS menarik diri daripada PN jika mahu memenangi PRU16.

IPR dipengerusikan Muhyiddin menghimpunkan empat parti komponen PN iaiatu Bersatu, PAS, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia bersama beberapa parti kecil antaranya Pejuang, Putra, Berjasa, Muda, Parti Kemajuan Malaysia, Parti Perikatan India Muslim Kebangsaan, dan Urimai.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berpandangan IPR bertujuan menampilkan kerjasama yang mewakili semua kaum, bagi menyaingi kerajaan Madani.

Beliau bagaimanapun berkata hakikatnya tunjang kekuatan PN adalah PAS dan Bersatu, manakala parti-parti lain adalah ‘nyamuk’ yang selalu kalah dalam pilihan raya.

“Parti kecil ini tidak boleh memberi nilai tambah pun kepada PN, tetapi pemimpin tertentu nak tunjukkan bahawa PN mewakili semua kaum, dan mereka ini pemimpin yang mewakili semua kaum yang boleh memimpin semua kaum,” katanya.

Awang Azman bagaimanapun berkata Bersatu perlu menilai adakah IPR benar-benar menyatukan suara rakyat, atau alat politik sementara bagi menyelamatkan kedudukan individu atau kelompok tertentu.

“Jawapan yang jujur dan terperinci kepada persoalan ini akan menentukan bukan sahaja imej parti dalam kalangan pengundi tetapi arah masa depan politik gabungan pembangkang secara lebih luas,” katanya.

Author: admin