
PETALING JAYA: Mahkamah membatalkan perintah reman terhadap aktivis, Tamim Dahri, dipercayai berkaitan dakwaan perobohan sebuah rumah ibadat dikatakan dibina tanpa kelulusan di Rawang.
Peguamnya, Aidil Khalid, mengumumkan Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan penahanan reman dua hari terhadap Tamim dan tiga individu lain, yang diberikan majistret pagi tadi.
“Mahkamah Tinggi memerintahkan mereka dilepaskan serta-merta,” katanya di Facebook.
Semalam, media melaporkan empat lelaki ditahan kerana disyaki merobohkan sebuah rumah ibadat tidak sah tanpa sebarang pemakluman kepada pihak berkuasa tempatan.
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata siasatan akan dijalankan secara telus, profesional, dan berlandaskan undang-undang bagi memberi keadilan kepada semua pihak terbabit, lapor Harian Metro.
Polis juga meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan.
