Terpedaya sindiket pelaburan emas, lebih RM1.1 juta melayang

Menurut polis, mangsa terima pesanan daripada seorang wanita yang tidak dikenali pada 25 Dis tahun lepas sebelum diajak sertai pelaburan emas dalam talian. (Gambar Envato Elements)

PETALING JAYA: Seorang jurutera berputih mata apabila rugi RM1.195 juta akibat terpedaya dengan sindiket penipuan pelaburan emas dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Rusdi Mohd Isa berkata, mangsa menerima pesanan daripada seorang wanita tidak dikenali pada 25 Dis tahun lepas yang mendakwa tersilap menghantar kek ke alamat mangsa.

Katanya, wanita terbabit kemudian mengambil kesempatan untuk berkenalan dengan mangsa sebelum mengajaknya menyertai pelaburan emas secara dalam talian dengan janji pulangan keuntungan lumayan.

Rusdi berkata, lelaki berusia lingkungan 50an itu pada mulanya membuat pelaburan RM3,000 ke akaun sebuah syarikat.

Terpedaya dengan keuntungan dijanjikan, dia melakukan 20 lagi transaksi ke lapan akaun syarikat berbeza, dengan jumlah keseluruhan kerugian mencecah RM1.195 juta.

Menurut Rusdi, mangsa membuat laporan polis pada 29 Jan lepas selepas menyedari ditipu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Rusdi memaklumkan 10 syarikat yang dikesan terbabit dalam kegiatan penipuan telah dimasukkan ke dalam pangkalan data Semakmule CCID hingga 31 Jan lepas.

Beliau berkata, 18 laporan penipuan membabitkan syarikat JMC M Trading Ventura dan JMC Top Trading; Rosnitah Mewah Trading Sdn Bhd (13 laporan); Norbing Renovation Sdn Bhd dan Hexbuild Construction & Hardware Sdn Bhd (12 laporan); dan KK Solid Works Sdn Bhd dengan 11 laporan.

Selain itu, masing-masing 10 laporan membabitkan CVC Grow Star Sdn Bhd, CVCMax Building Sdn Bhd, CICC Vano Trading dan AEP Global Enterprise Sdn Bhd.

Author: admin