Silibus subjek Sejarah akan kekal bebas daripada pengaruh politik, kata timbalan menteri

wong kah woh
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata kementerian komited untuk memastikan kurikulum Sejarah tepat, seimbang dan relevan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan hari ini menegaskan bahawa silibus sekolah yang digunakan untuk pengajaran subjek Sejarah akan sentiasa bebas daripada pengaruh politik kepartian.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh, berkata kementerian komited memastikan kurikulum Sejarah kekal tepat, seimbang dan relevan.

“Ini sememangnya adalah pendirian daripada kementerian,” katanya ketika menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) yang bertanya kekerapan semakan silibus.

Syed Saddiq turut memberi amaran supaya tidak ‘mewarnakan lensa sejarah dengan politik kepartian’, walaupun ia memberi manfaat kepada parti pemerintah, kerana ia boleh menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ibu bapa.

Wong berkata semakan dibuat secara berkala dan mengikut keperluan bagi subjek tertentu.

“Kementerian sentiasa memastikan kurikulum selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan dan kekal seimbang dengan mengambil kira semua segmen berkaitan,” tambahnya.

Terdahulu, Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mencadangkan supaya perkembangan politik moden dimasukkan dalam pelajaran Sejarah, seperti gerakan Bersih, gerakan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri, gerakan Reformasi dan Langkah Sheraton.

Wong berkata walaupun peristiwa tersebut adalah sebahagian daripada sejarah negara, sebarang semakan kurikulum akan melibatkan rundingan dengan ahli sejarah, ahli akademik dan institusi seperti Arkib Negara.

“Pada masa sama, sesi libat urus juga akan diadakan dengan guru, badan profesional serta masyarakat bagi memastikan kandungan (silibus) kekal relevan dan tepat,” katanya.

Author: admin