
PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah semua pihak wajib mematuhi undang-undang negara, termasuk dalam perkara berkaitan penggunaan tanah serta pembinaan rumah ibadat.
Titah baginda, isu seperti pembinaan kuil hendaklah ditangani mengikut peraturan dan saluran undang-undang yang sama seperti pembinaan masjid, gereja dan tokong.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginta turut mengimbas kembali pengalaman baginda pada 2018 apabila bertindak sebagai pendamai dalam menyelesaikan isu perobohan sebuah kuil di Johor secara baik, berhemah dan berlandaskan undang-undang.
“Saya sendiri menyelesaikan masalah berkenaan secara baik serta menasihatkan semua pihak yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini serta menjaga ketenteraman awam.
“Apabila timbul sebarang isu berkaitan pembinaan kuil atau rumah ibadat, semua pihak hendaklah memahami serta menghormati undang-undang, di samping menyelesaikan perbezaan menerusi saluran yang sah demi mengekalkan keharmonian, toleransi dan semangat muhibah,” titah baginda.
Titah baginda lagi, agama Islam menekankan prinsip saling hormat-menghormati antara sesama manusia, dan tidak menghalang penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan serta ibadat masing-masing.
“Penganut agama lain juga wajar menunjukkan sikap hormat terhadap Islam. Pendekatan saling menghormati ini penting bagi mengelakkan salah faham, ketegangan dan provokasi, sekali gus memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang agama dan budaya,” titah baginda.
Sultan Ibrahim juga memberi amaran bahawa sebarang isu berkaitan agama tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak sehingga boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan serta kestabilan negara yang berbilang kaum.
Titah baginda, Malaysia sebuah negara yang dibina atas asas keharmonian, dan kekuatan negara terletak pada semangat saling menghormati, toleransi serta pematuhan kepada undang-undang.
Baginda turut mengingatkan semua pihak agar mengelakkan sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh menimbulkan salah faham, perpecahan serta menggugat keamanan.
“Setiap rakyat bertanggungjawab memelihara nilai-nilai berkenaan demi kepentingan bersama.”
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang di Istana Negara pada hari ini.
