Umno terbuka terima semula Hamzah, kata Zahid

hamzah zainudin n zahid hamidi
Zahid Hamidi berkata Umno ialah tempat untuk ahli Umno atau sesiapa sahaja yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Umno sentiasa bersikap terbuka untuk menerima semula mana-mana individu kembali menyertai parti itu, termasuk Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin yang berdepan kemungkinan tindakan pemecatan daripada partinya.

Presidennya, Zahid Hamidi, berkata pintu Rumah Bangsa sentiasa terbuka untuk pemimpin atau mana-mana individu yang ingin bersama parti itu semula, selaras dengan objektif penubuhan gagasan terbabit.

“Sebagaimana objektif penubuhan Rumah Bangsa, ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin kembali atau menyertai Umno, sama ada secara individu mahupun berkumpulan.

“Umno ialah tempat untuk ahli Umno atau sesiapa sahaja yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu,” katanya yang diminta mengulas kedudukan Hamzah dalam Bersatu, menurut Utusan Malaysia.

Tambahnya lagi, Umno mengambil pendekatan inklusif dalam usaha menyatukan kembali orang Melayu di bawah satu wadah politik yang stabil dan berpengalaman.

Hamzah sebelum ini menjadi antara enam Ahli Parlimen Umno yang keluar parti itu pada 14 Disember 2018 dengan alasan hilang keyakinan terhadap kepemimpinan Zahid ketika itu.

Bersatu yang berdepan krisis dalaman ketika ini dikatakan mengaitkan nama Hamzah sebagai antara pemimpin yang berdepan kemungkinan dikenakan tindakan disiplin termasuk pemecatan.

Hamzah dilaporkan dipanggil menghadap lembaga disiplin bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan perhimpunan agung tahunan dan serangan terhadap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Author: admin