Sokongan Melayu 5% berdasarkan senario Amanah tanding solo, jelas Hasbie

Hasbie-Muda
Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda mahu realiti sokongan pengundi Melayu membuka mata parti.

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Amanah menjelaskan sokongan Melayu serendah 5% adalah hasil kajian badan bebas berdasarkan senario parti itu bertanding solo.

Hasbie Muda menerangkan ia bukan gambaran keseluruhan kerana tidak mengambil kira faktor lain seperti sokongan kepada Pakatan Harapan, dan persepsi terhadap pencapaian kerajaan perpaduan, antara lain.

“Angka itu juga belum mengambil kira faktor-faktor lain seperti calon, kekuatan jentera, keberkesanan media sosial, konsistensi gerak kerja turun padang, dan sebagainya,” katanya kepada FMT.

Hasbi percaya peratus sokongan pada PRU16 kelak akan jauh lebih tinggi kerana “keyakinan orang Melayu terhadap PH dan kerajaan perpaduan sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.”

Meskipun begitu, Hasbi menegaskan bahawa dapatan itu untuk muhasabah dalaman Pemuda Amanah, perkara yang ditekankan dalam ucapannya kepada sayap itu pada Sabtu.

Hasbie dalam amanatnya pada satu acara di ibu negara berkata dapatan itu merupakan realiti politik yang patut membuka mata Pemuda menjelang PRU16, dan mahu sayap itu ‘buat sesuatu’.

Beliau menegur pemimpin yang tidak aktif mendekati pengundi muda, dan menyeru lantikan politik menyumbang kepada dana jentera Pemuda.

Muhasabah dan transformasi

Sementara itu, dua pemimpin kanan Amanah mengambil pendedahan Hasbie sebagai seruan kepada mempertingkatkan penerangan kepada rakyat dan menguatkan akar umbi parti.

Setiausaha Agung Faiz Fadzil berkata teguran membina Hasbie itu perlu dijadikan pemangkin dalam strategi mendekati pengundi Melayu.

“Amanah membawa satu dasar Islam dan saya yakin dasar itu boleh diterima oleh orang Melayu. Cuma mungkin pendekatan dan penerangan di peringkat bawah itu belum cukup kuat untuk meyakinkan orang Melayu,” katanya kepada FMT.

Bagi menghadapi PRU16, Timbalan Presiden Mujahid Yusof Rawa berkata pihaknya melaksanakan ‘projek transformasi Amanah’ bagi mengukuhkan organisasi dan kebajikan ahli, serta naratif perjuangan dan penguasaan media sosial.

“Kalau kata undi Melayu hanya 5%, ia bermaksud kita lemah, kita tak bina kekuatan yang sebenarnya; atau jika ia adalah peringatan dan usaha berjalan bagi membina kekuatan, itu baguslah.”

Author: admin