
PETALING JAYA: Seorang lelaki didakwa melakukan onani di khalayak awam semasa satu seminar membabitkan pelajar sekolah di Universiti Teknologi & Inovasi Asia Pasifik (APU) telah ditangkap polis.
Ketua Pegawai Operasi APU, Gurpardeep Singh, berkata polis dihubungi apabila kejadian diketahui. Menurutnya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang kaitan dengan universiti tersebut.
Beliau menambah, menurut polis, suspek dikatakan mempunyai masalah mental.
“Dia pastinya bukan pelajar APU mahupun kakitangan APU atau dalam apa jua cara sekalipun berkaitan APU,” katanya kepada FMT.
Gurpardeep berkata seminar tersebut bukan dianjurkan oleh pihak universiti tetapi oleh beberapa buah sekolah yang menyewa dewannya, sambil menambah siasatan dalaman sedang dijalankan.
“Kami perlu tahu bila dan bagaimana individu ini masuk ke dalam dewan bersama para pelajar,” katanya.
FMT sedang mendapatkan ulasan polis.
Satu hantaran tular di media sosial mendakwa lelaki itu memasuki auditorium bersama pelajar-pelajar untuk seminar tersebut, yang melibatkan dua buah sekolah menengah. Salah sebuah sekolah tersebut dikatakan membenarkan pelajar hadir ke seminar dengan berpakaian biasa.
Warganet tersebut mendakwa lelaki itu mula melakukan onani selepas kira-kira 40 minit seminar berlangsung, menyebabkan seorang pelajar perempuan yang duduk di sebelahnya menangis. Guru kemudian campur tangan dan mengarahkan lelaki itu meninggalkan auditorium.
Video tular memaparkan lelaki itu memakai dan menzip seluar sebelum keluar dari dewan tersebut.
