
PETALING JAYA: Kerajaan melalui Kementerian Perpaduan akan mengambil pendekatan penyelesaian secara berhemah dengan memberi tempoh munasabah kepada pihak pengurusan rumah ibadat untuk mematuhi peraturan.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara R Yuneswaran berkata langkah itu bertujuan mengelakkan tindakan terburu-buru yang boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.
“Prinsip asasnya jelas, semua rumah ibadat, sama ada masjid, gereja atau kuil, tertakluk kepada undang-undang dan garis panduan yang sama, khususnya berkaitan pemilikan dan kelulusan tanah.
“Penyelesaian perlu dicari melalui dialog, peraturan dan saluran sah, bukan melalui pertikaian atau konflik,” kata dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu susulan amanat Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara menekankan keperluan memperkukuh keharmonian dan perpaduan nasional.
Dalam majlis itu, Anwar turut memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan untuk ‘membersihkan’ rumah ibadat, termasuk kuil, yang sengaja dibina tanpa mengikut peraturan undang-undang.
Mengulas lanjut, R Yuneswaran menegaskan komitmennya melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaiknya, berpandukan prinsip keadilan, keharmonian antara kaum serta pengukuhan perpaduan nasional.
“walaupun berdepan pelbagai dinamika politik serta perbezaan pandangan, hakikatnya majoriti rakyat tetap menerima bahawa negara ini mesti dibina di atas landasan yang betul, berteraskan persefahaman, saling menghormati dan perpaduan yang kukuh.
“Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan Malaysia terus kekal aman, bersatu dan dihormati, demi menjamin masa depan yang lebih makmur dan bermakna kepada generasi akan datang,” katanya.
