Kes hasutan Muhyiddin dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk bicara

Muhyiddin Yassin
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin didakwa menghasut berhubung kenyataan yang dibuat pada Ogos 2024, menjelang PRK Nenggiri.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan mengembalikan kes hasutan Muhyiddin Yassin untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi selepas panel lima hakim enggan menjawab persoalan perlembagaan yang dikemukakan oleh bekas perdana menteri itu.

Mahkamah tertinggi menetapkan pengurusan kes di hadapan penolong kanan pendaftar di Kuala Lumpur bagi membolehkan pihak-pihak mendapatkan arahan lanjut untuk perbicaraan.

Pengerusi panel Abu Bakar Jais yang juga presiden Mahkamah Rayuan, mengumumkan perintah itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju bahawa persoalan yang dikemukakan kepada mahkamah tertinggi boleh dibangkitkan semasa perbicaraan.

“Jika Mahkamah Tinggi melakukan kesilapan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan boleh membetulkannya melalui rayuan,” katanya.

Salah satu persoalan yang dibangkitkan ialah sama ada niat untuk melakukan kesalahan terpakai bagi kes di bawah Akta Hasutan atau sama ada hasutan merupakan kesalahan liabiliti mutlak.

Hakim lain yang mendengar permohonan rujukan itu ialah Ketua Hakim Malaya Hashim Hamzah serta Hakim Rhodzariah Bujang, Lee Swee Seng dan Nazlan Ghazali.

Pada permulaan prosiding, Abu Bakar berkata persoalan yang dikemukakan kepada mahkamah tertinggi boleh dibangkitkan di hadapan hakim perbicaraan.

Beliau berkata tiada keputusan yang memudaratkan dibuat terhadap Muhyiddin setakat ini kerana pihak pendakwaan perlu memanggil saksi-saksi bagi membuktikan kes prima facie.

Peguam utama Muhyiddin, Amer Hamzah Arshad kemudiannya memaklumkan panel bahawa pihak pendakwaan dan pembelaan telah meneliti panduan yang diberikan.

“Kami telah mendapatkan arahan daripada anak guam kami. Kami juga berbincang dengan responden (pendakwaan) yang menerima bahawa isu niat adalah isu semasa yang boleh dibangkitkan dengan sewajarnya semasa perbicaraan,” katanya.

Permohonan rujukan itu, dibuat di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, berkaitan kenyataan yang dibuat Muhyiddin pada Ogos 2024 menjelang PRK Nenggiri.

Muhyiddin didakwa mempersoalkan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong ketika itu, susulan keputusan baginda untuk tidak melantiknya sebagai perdana menteri selepas PRU 2022 walaupun beliau mendakwa mendapat sokongan 115 Ahli Parlimen.

Presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) akta berkenaan, yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Peguam Muhyiddin berhujah antara lain, ucapannya menyentuh Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh dianggap sebagai kesalahan di bawah Akta Hasutan.

Peguam Rosli Dahlan, Chetan Jethwani dan Joshua Tay yang turut mewakili Muhyiddin, hadir di mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Saiful Hazmi Saad, Ahmad Zazali Omar dan Nadia Izhar hadir mewakili pihak pendakwaan.

Author: admin