
KUALA LUMPUR: Hamzah Zainudin masih timbalan presiden Bersatu buat masa ini, menurut seorang wakil rakyat yang menghadiri acara bersama Presiden Muhyiddin Yassin, malam tadi.
“Hamzah belum kena buang lagi,” kata Adun Kota Siputeh, Ashraf Mustaqim Badrul Munir, kepada FMT ketika ditemui di luar kediaman bekas perdana menteri itu di Bukit Damansara.
Lebih 30 wakil rakyat Bersatu dan pemimpin kanan parti berkumpul di rumah Muhyiddin di tengah-tengah pertelingkahan antara kepimpinan yang semakin meruncing.
Antara yang hadir Setiausaha Agung Azmin Ali serta Naib Presiden Ahmad Faizal Azumu dan Radzi Jidin.
Sumber Bersatu beritahu FMT bahawa hadirin termasuk lebih 20 Adun dari pelbagai negeri, empat Ahli Parlimen serta beberapa ahli majlis pimpinan tertinggi.
Bagaimanapun, mereka yang dikatakan memihak kepada Timbalan Presiden Hamzah Zainudin tidak hadir. Sumber Bersatu kata mereka yang dalam kumpulan Hamzah memboikot acara malam ini, manakala seorang Ahli Parlimen mengesahkan wakil rakyat yang memihak kepada Hamzah membuat keputusan untuk tidak menghadiri pertemuan ini.
“Mereka yang hadir adalah penyokong tegar Muhyiddin,” katanya.
Sementara itu, FMT dimaklumkan bahawa acara perjumpaan khas terpaksa ditukarkan kepada pertemuan ini kerana hanya 18 wakil rakyat mengesahkan kehadiran.
Difahamkan tindakan akan diambil terhadap mereka yang tidak hadir.
Pertemuan malam tadi berlatarkan laporan bahawa Hamzah dipanggil menghadap lembaga disiplin, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan perhimpunan agung tahunan, dan serangan terhadap Muhyiddin.
