
PETALING JAYA: Enam kenderaan, termasuk empat kereta dan dua motosikal kemalangan di Jalan Tun Razak pada petang Jumaat selepas seorang kanak-kanak dua tahun secara tidak sengaja membuka pintu kereta dinaiki.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata nahas itu mengakibatkan seorang penunggang motosikal berusia 25 tahun patah tangan, manakala seorang lagi penunggang berusia 30 tahun cedera ringan.
Katanya, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu berada di tempat duduk penumpang belakang dengan dipangku saudaranya, telah membuka pintu belakang sebelah kiri secara mengejut.
“Ciri kunci keselamatan kanak-kanak juga dipercayai tidak diaktifkan menyebabkan pintu kenderaan dapat dibuka dari bahagian dalam.
“Tindakan itu mengakibatkan seorang penunggang motosikal jenis Suzuki V-Strom SX yang sedang bergerak di antara lorong tidak sempat mengelak lalu melanggar pintu kenderaan berkenaan sebelum hilang kawalan dan merempuh beberapa kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa cermat dan tidak bertimbang rasa.
Polis meminta orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat lanjut tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
