
KUALA LUMPUR: Polis akan memohon perintah reman terhadap pendakwah bebas Zamri Vinoth dan aktivis Tamim Dahri Abdul Razak yang ditahan malam tadi sebelum himpunan membantah rumah ibadat ‘haram’.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata dua lelaki yang juga penganjur perhimpunan itu ditahan di IPD Dang Wangi.
“Proses reman sedang berjalan dan kami akan memaklumkan media sebaik sahaja terima pengesahan,” katanya pada sidang media di sini.
Beliau berkata, kedua-duanya sedang disiasat mengikut Akta Hasutan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Menurutnya, 19 individu ditahan malam tadi, dengan 17 orang dibebaskan selepas keterangan mereka direkodkan.
Jelasnya, 131 laporan polis dibuat terhadap Zamri dan kumpulan dikenali Gerakan Anti Rumah Anutan Haram.
Perhimpunan yang dirancang di luar kompleks beli-belah Sogo malam tadi gagal diadakan kerana tidak dibenarkan polis atas faktor keselamatan.
Kira-kira 200 anggota beruniform, termasuk pasukan Unit Tempur Ringan (LSF) dikerahkan ke lokasi itu.
Ketua Polis Dang Wangi, Sazalee Adam, bercakap dengan peserta perhimpunan itu sebelum mengarahkan mereka bersurai.
Antara individu dilaporkan ditahan ialah peguam Haniff Khatri Abdulla, Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat Shafiq Abdul Halim, Hishamuddin Abu Bakar dari NGO Ummah, Iskandar Khoo dari Bersatu dan Gulab Jan dari PPIM.
Seorang lelaki ditahan selepas mengingkari arahan polis.
Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberi amaran keras kepada peserta perhimpunan itu supaya tidak mencabar undang-undang dan mengganggu gugat keselamatan awam atau “tindakan maksimum” akan diambil terhadap mereka.
“Tangkap mereka dan humban mereka,” katanya sambil meminta peserta perhimpunan tidak mengambil alih peranan pihak berkuasa.
