
PETALING JAYA: Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah mengesahkan menerima permohonan PAS Perlis melantik penyelaras bagi DUN Guar Sanji, Bintong dan Simpang Empat yang tiada wakil rakyat, tetapi mesyuarat exco memutuskan penghulu dilantik bagi memantau Pusat Khidmat Menteri Besar ditubuhkan di tiga kawasan itu.
Beliau berkata permohonan penyelaras itu dikemukakan Pesuruhjaya PAS Perlis Ahmad Ali, Perikatan Nasional (PN) negeri dan Majlis Tindakan DUN.
Menurutnya, PAS mencalonkan bekas menteri besar yang juga Adun Sanglang Shukri Ramli sebagai penyelaras DUN Guar Sanji menggantikan bekas Adun Ridzuan Hashim, Adun Santan Muhammad Azmir Azizan sebagai penyelaras DUN Chuping dan Adun Kayang Asrul Aimran Abd Jalil untuk DUN Bintong.
Tetapi, katanya mesyuarat exco minggu lalu memutuskan pelantikan penghulu selepas mengambil kira cadangan diterima daripada beberapa pihak terbabit bagi mengelakkan pertelagahan dan mengharmonikan suasana politik di Perlis.
“Lantikan penghulu itu langkah sementara, di mana setiap kawasan ini akan dikelolakan setiausaha politik menteri besar sehingga keputusan berkaitan tiga bekas Adun di kerusi berkenaan diputuskan mahkamah sama ada benar-benar kosong atau sebaliknya,” katanya menurut Berita Harian selepas Majlis Perasmian Pesta Angin Timur di Dataran Kangar Jaya, Kangar.
Beliau yang juga timbalan pengerusi PN Perlis menegaskan rakyat di tiga DUN itu boleh berurusan dengan penghulu dilantik atau Pejabat Menteri Besar.
Terdahulu, tular surat pencalonan penyelaras bagi tiga DUN itu. Ia mencetuskan polemik susulan keputusan PAS enggan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan negeri pimpinan Abu Bakar.
PAS menghentikan serta-merta keahlian Adun Chuping Saad Seman, Adun Bintong Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji Ridzuan Hashim pada 24 Dis lalu kerana bersama lima Adun Bersatu menandatangani akuan berkanun bagi menarik sokongan kepada Shukri.
DUN Perlis kemudian menyerahkan notis pengosongan tiga kerusi itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri pada 29 Dis lalu, tetapi Pengerusi SPR Ramlan Harun dilaporkan berkata tiada PRK bagi tiga kerusi itu selepas DUN Perlis menarik semula pemakluman kekosongan berkenaan pada 31 Dis lalu.
Speaker DUN Perlis Rus’sele Eizan dilaporkan berkata, walaupun tiada PRK tiga kerusi itu kekal kosong sehingga PRU16, selepas mengambil kira perkembangan terkini, termasuk pendirian PAS yang memberi jaminan akan terus komited mengekalkan kelangsungan dan kestabilan kerajaan negeri.
