Serang presiden, 2 pemimpin Bersatu Sabah dipanggil

Yunus Nurdin dan Nabila Norsahar dari Bersatu Sabah didakwa telah mencemar imej Presiden Muhyiddin Yassin.

PETALING JAYA: Dua pemimpin Bersatu Sabah dipanggil berdepan Lembaga Disiplin kerana mengkritik Presiden Muhyiddin Yassin dalam satu sidang akhbar susulan kekalahan teruk parti itu pada PRN, pada 29 Nov tahun lalu.

Lembaga itu mengeluarkan notis kepada Setiausaha Bersatu Sabah Yunus Nurdin dan Nabila Norsahar, yang juga ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah.

Pengerusi Lembaga Disiplin Radzi Manan, berkata keduanya didakwa membuat ‘dakwaan tidak benar’ berkaitan persiapan parti
dalam PRN Sabah, selain dikatakan menyerang presiden serta mencemarkan imej presiden.

Keduanya juga dituduh mengugut untuk ‘menghancurkan’ Bersatu Sabah sekiranya mereka dihadapkan ke Lembaga Disiplin.

Awal hari ini, empat ketua bahagian Bersatu turut dipanggil menghadap Lembaga Disiplin. Mereka terdiri Ahmad Nasir Mid (Selayang), Abdul Aziz Ismail (Dungun), Zulkifli Bujang (Johor Bahru), dan Ramlan Meon (Tangga Batu).

Yunus dan Nabila diarah hadir sesi pendengaran disiplin pada 12 Feb atau berdepan risiko tindakan. Ketika dihubungi, Nabila dan Yunus mengesahkan menerima notis berkenaan petang tadi.

Yunus dipetik dalam laporan media bertindak mendesak peletakan jawatan Muhyiddin sebagai presiden dan pengerusi Perikatan Nasional (PN), serta menyatakan adalah memalukan bagi parti itu untuk tidak menang sebarang kerusi pada PRN Sabah walaupun telah meletakkan 33 calon.

Beliau turut menuduh kepimpinan Bersatu gagal menguruskan pergolakan dalaman dalam tempoh beberapa bulan sebelum pilihan raya, sekali gus menjejaskan keyakinan pengundi. Yunus dan Nabila diletakkan sebagai calon, masing-masing bagi kerusi Gum Gum dan Darau.

Author: admin