Zamri Vinoth, beberapa lain ditahan

perhimpunan sogo
Kehadiran polis yang ramai dikesan malam ini di pusat bandar Kuala Lumpur susulan perhimpunan membantah apa dipanggil sebagai rumah ibadat ‘haram’ dijadual berlangsung.

KUALA LUMPUR: Penceramah bebas Zamri Vinoth yang memainkan peranan utama dalam himpunan membantah apa dipanggil sebagai rumah ibadat ‘haram’ ditahan polis bersama beberapa peserta perhimpunan lain.

Berita mengenai penangkapan Zamri dimuat naik di akaun Facebook miliknya. “Maklumat buat semua saudara Zamri Vinoth telah ditahan oleh pihak berkuasa dan telah dibawa ke IPD Dang Wangi,” kata kenyataan itu.

FMT turut mendapati peserta lain dalam perhimpunan itu turut ditahan, walaupun butirannya masih terhad.

Sementara itu, seorang Ahli Parlimen menyeru ‘Zamri dan semua terlibat’ berhadapan tindakan undang-undang tegas.

Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer menggesa polis tidak membebaskan Zamri dengan jaminan, sebaliknya mengekalkannya dalam reman dan didakwa di mahkamah. “Tunjukkan kepada Zamri Vinoth bahawa beliau tidak berada di atas undang-undang dan tidak lebih besar daripada perdana menteri,” kata Rayer dalam kenyataan malam ini.

Dalam pada itu, beberapa individu dipercayai peserta Himpunan Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram (Garah) ditahan di hadapan Kompleks Beli-Belah Sogo, malam ini.

Difahamkan, individu terbabit pada awalnya dilihat cuba melakukan provokasi ketika dihampiri anggota polis yang sedang menjalankan pemantauan, sebelum diberi nasihat pihak berkuasa.

Namun, situasi menjadi tegang apabila individu berkenaan enggan mematuhi arahan menyebabkan polis mengambil tindakan menahan mereka.

Individu ditahan kemudiannya dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, polis memaklumkan tidak membenarkan penganjuran Garah atas faktor keselamatan awam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus, berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya menjalankan risikan keselamatan serta meneliti maklum balas daripada pelbagai pihak berkaitan.

Terdahulu, media tempatan melaporkan satu himpunan aman dirancang di ibu negara bagi menyuarakan kebimbangan terhadap isu pembinaan rumah ibadat haram didakwa semakin berleluasa di seluruh negara.

Author: admin