
PETALING JAYA: Gabungan Parti Sarawak (GPS) belum memutuskan tarikh usul tambahan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dikemukakan di Parlimen untuk kelulusan.
Setiausaha Agung GPS, Alexander Nanta Linggi, berkata perkara itu pernah dibincangkan gabungan pemerintah Sarawak itu, tetapi belum membuat sebarang keputusan.
“Tetapi, kami akan berusaha ke arah itu,” katanya menurut Berita Harian selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi GPS yang dipengerusikan Abang Johari Openg di Kuching.
Kerusi DUN Sarawak ditambah daripada 82 kepada 99 ketika ini, selepas Rang Undang-undang (RUU) DUN (Komposisi Keanggotaan) 2025 diluluskan Julai tahun lalu, tetapi ia tertakluk kepada kelulusan Parlimen supaya boleh dipertandingkan pada PRN13.
PRN13 Sarawak perlu diadakan selewat-lewatnya April 2027.
Mengenai mesyuarat hari ini, Nanta berkata, ia bagi membincangkan Perhimpunan Agung GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada 19 April nanti.
Ia merupakan perhimpunan agung pertama gabungan dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) sejak GPS ditubuhkan pada 2019.
Beliau berkata, Timbalan Presiden PBB, Douglas Uggah Embas dilantik mengetuai jawatankuasa induk, dengan timbalannya terdiri daripada presiden PRS, SUPP dan PDP.
Katanya, perhimpunan agung bertemakan pencapaian Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 itu antara lain bagi membincangkan strategi mengukuhkan persediaan GPS bagi menghadapi PRN13 Sarawak.
