
PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) Johor mula mengadakan rundingan dan perbincangan awal mengenai pembahagian kerusi bagi menghadapi PRN Johor.
Ketua DAP Johor Teo Nie Ching, berkata rundingan berkenaan setakat ini hanya melibatkan parti dalam gabungan PH.
“Saya rasa kita tidak boleh menolak kemungkinan untuk menghadapi PRN Johor pada tahun ini. Oleh itu, PH Johor telah bermesyuarat dan kami sedang dalam peringkat membincangkan pembahagian kerusi,” katanya menurut Bernama selepas menghadiri Majlis Penyerahan Next Gen Luxury Coaches, di Kulai.
Beliau yang juga timbalan menteri komunikasi, berkata perbincangan pembahagian kerusi dalam PH akan diselesaikan terlebih dahulu sebelum melihat peluang atau kemungkinan kerjasama dengan pihak lain.
Timbalan pengerusi PH Johor itu juga, berkata kelazimannya rundingan politik akan bermula dalam kalangan gabungan terlebih dahulu sebelum diperluas kepada parti lain jika perlu.
Teo turut menzahirkan keyakinan bahawa semua parti politik kini juga sedang membuat persediaan masing-masing bagi menghadapi PRN dan sekiranya belum bermula, persiapan itu dijangka dimulakan dalam masa terdekat.
Pada PRN lalu, PH menang 12 daripada 56 DUN, Barisan Nasional (40), Perikatan Nasional (tiga), dan Muda, satu kerusi.
DAP memenangi 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.
