Tak dapat kebenaran merancang, projek ladang babi di Perak diarah henti

Exco Perak A Sivanesan berkata hukuman seperti kompaun wajar dikenakan kerana kerja awal di tapak sebelum mendapat kebenaran dan kelulusan tidak patut dinormalisasi. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Projek ladang babi moden di Jalan RE, Jalong, Sungai Siput diarahkan berhenti kerana tidak mendapat kebenaran merancang (KM) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan, berkata tindakan itu kerana kerja pembangunan atau pembinaan kandang dilaksanakan tanpa KM.

“PBT akan menyiasat dan maklumkan kerana saya bertanggungjawab untuk penstrukturan semula ladang babi di Perak.

“Bukan saja ladang babi, malah mana-mana pembangunan atau pembinaan tanpa KM melanggar undang-undang,” katanya menurut Berita Harian selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-30 Hospital Pantai Ipoh.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Sungai Siput, Ariff Zaky Zolkafly, mendakwa pemaju projek ladang babi itu diberi notis menghentikan kerja dan kompaun RM25,000 oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sungai Siput serta Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) untuk satu daripada tujuh lot projeknya.

Beliau turut mendakwa pihak merancang pembangunan ladang babi berskala besar seluas 12 hektar itu melakukan kerja awal tapak sejak tiga bulan sebelumnya.

Sivanesan berkata, hukuman seperti kompaun wajar dikenakan kerana kerja awal di tapak sebelum mendapat kebenaran dan kelulusan tidak patut dinormalisasi.

“Kalau tanya saya, (memang) kena bagi kompaun untuk beri pengajaran supaya tidak melanggar di mana-mana. Jangan sudah habis naik tiang atau bina bangunan, baru hendak hantar (permohonan).

“Tambahan pula, ini (projek terletak di) tepi jalan, dalam penglihatan PBT dan bukan dalam hutan. Saya akan lawat tapak projek itu minggu ini untuk memastikan mereka patuh.”

Katanya, tiada keperluan Perak melaksanakan penternakan babi berpusat kerana ia mendatangkan risiko jika ternakan dijangkiti penyakit.

Author: admin