Isu dalaman PAS Perlis boleh selesai awal jika pusat bertindak, dakwa Hashim

Hashim Jasin
Mursyidul Am Hashim Jasin berkata tidak wajar mendakwanya bercakap mewakili Majlis Syura Ulama tanpa berunding kerana ada perbincangan dengan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan, Ketua Dewan Ulama Ahmad Yahaya serta Naib Presiden Idris Ahmad.

PETALING JAYA: Isu dalaman PAS Perlis terutama membabitkan bekas menteri besar Shukri Ramli boleh diselesaikan lebih awal jika pimpinan di pusat menanganinya lebih awal, dakwa Mursyidul Am Hashim Jasin.

Hashim mendakwa beliau telah melaporkan perkara dianggap tidak wajar di negeri itu termasuk kepada Presiden Hadi Awang sejak tiga tahun lalu, namun tindakan susulan diharapkan tidak berlaku, lapor Utusan Malaysia.

Sehubungan itu, Hashim menegaskan tuduhan mendakwanya bercakap mewakili Majlis Syura Ulama tanpa berunding sebagai tidak wajar kerana telah ada perbincangan dengan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan, Ketua Dewan Ulama Ahmad Yahaya serta Naib Presiden Idris Ahmad.

“Dalam pertemuan berkenaan, saya telah mendedahkan perkara yang saya lihat tidak betul dan perlu diperbetulkan. Namun lebih tiga tahun berlalu, masih tiada jawapan serta tindakan jelas,” katanya.

Shukri meletak jawatan sebagai menteri besar pada 25 Dis lalu atas faktor kesihatan dan digantikan Ketua Bersatu Perlis Abu Bakar Hamzah yang mencetuskan polemik hubungan dalam Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana PAS mempunyai kerusi terbanyak di DUN Perlis selain ada lapan wakil rakyat PN termasuk tiga dari PAS menandatangani akuan berkanun (SD) untuk menarik sokongan terhadap Shukri.

Penarikan sokongan Adun terbabit dikatakan menggugat majoriti mudah Shukri di DUN, yang dikuasai PN, untuk terus menjadi menteri besar.

Tiga Adun PAS terbabit adalah Saad Seman (Chuping), Anwar Ismail (Bintong) dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji). Hadi memaklumkan keahlian mereka terhenti manakala Speaker DUN Perlis Rus’sele Eizan mengumumkan kekosongan kerusi itu.

Minggu lalu, Majlis Syura Ulama PAS dilaporkan menerima permohonan kemasukan bekas tiga Adun Perlis itu, yang akan diserahkan kepada Takiyudin untuk pertimbangan PAS pusat.

Mengulas mengenainya, Hashim menyarankan pucuk pimpinan PAS Pusat berlapang dada menimbang semula rayuan keahlian Saad, Anwar dan Ridzuan.

“Kita sudah merayu dan menyokong rayuan itu dan jika di mahkamah sekali pun ada proses rayuan, maka dalam kes ini, timbanglah rayuan mereka.

“Hasrat kita untuk melihat tindakan membaiki keadaan diambil,” katanya.

Author: admin