
PETALING JAYA: Beberapa peguam menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kelewatan Jabatan Kimia mengemukakan laporan kes berkaitan dadah yang menyebabkan sebahagian anak guam mereka terpaksa meringkuk dalam penjara sementara menunggu perbicaraan.
Jabatan Kimia mengakui berlaku kelewatan berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk beban kerja terlalu tinggi.
Peguam Vinesh Segar berkata, individu didakwa atas kesalahan berkaitan dadah hanya boleh merekodkan pengakuan selepas laporan kimia dikemukakan di mahkamah.
Walaupun dalam sesetengah kes tertuduh boleh dibebaskan dengan ikat jamin, katanya, individu berdepan pertuduhan dadah lebih serius terpaksa dipenjarakan sementara menunggu laporan itu diserahkan.
Menurutnya, Jabatan Kimia baru-baru ini memohon maaf atas kelewatan itu atas alasan terdapat banyak kes tertunggak dan keperluan mengutamakan kes lama.
“Tetapi, berapa lama anak guam saya perlu ditahan? Mereka juga berhak mendapat perbicaraan adil,” katanya kepada FMT.
Jelasnya, satu kes anak guamnya yang didakwa Mac tahun lalu masih menunggu laporan kimia.
Beliau berkata, kelewatan itu bukan saja menjejaskan anak guamnya, tetapi turut memberi kesan kepada keluarga mereka.
Seorang lagi peguam, R Babu Naidu, berkata seorang anak guamnya mengalami gangguan psikologi di penjara selepas perbicaraannya ditangguhkan akibat kelewatan penyerahan laporan kimia.
“Dia masih bergantung kepada ubat.”
Jabatan Kimia ketika dihubungi menjelaskan kelewatan berlaku akibat kekangan operasi, termasuk kekurangan tenaga kerja dan peningkatan kes berkaitan dadah.
Katanya, jumlah penganalisis forensik dadah tidak berubah sejak 2014, walaupun jumlah kes meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh sama.
Menurutnya, bergantung kepada jenis kes dadah, laporan perlu melalui pelbagai peringkat semakan.
Tegasnya, kekurangan peralatan dan makmal terhad turut menyumbang kepada kes tertunggak.
Jabatan Kimia memberitahu FMT, laporan tidak boleh disiapkan secara tergesa-gesa.
“Setiap laporan kimia membawa implikasi besar terhadap proses kehakiman,” katanya sambil menambah ia berusaha mempercepatkan tempoh laporan disiapkan dan mengelakkan kes tertunggak.
Antara langkah diambil termasuk memohon tambahan tenaga kerja dan menaik taraf peralatan bagi mempercepatkan analisis tanpa menjejaskan kualiti.
Jabatan Kimia berkata, pihaknya sedang melakukan “penstrukturan semula” sistem aliran kerja bagi memastikan kes berprofil tinggi diberi keutamaan.
“Untuk rancangan jangka panjang, kami sedang meneliti pembinaan kemudahan baharu dengan lebih banyak makmal dan kapasiti operasi.”
