
Diberitakan seorang ‘pendakwah’ bebas, Zamri Vinoth, telah memohon kebenaran pihak berkuasa untuk menganjurkan perhimpunan aman bagi memprotes apa yang mereka lihat sebagai pencerobohan rumah ibadat ke atas tanah awam dan ketidak adilan dalam penyelesaian dari aspek memberi muka oleh pihak berkuasa tempatan.
Menteri Perpaduan Aaron Ago Dagang berharap pihak berkuasa tidak membenarkan perhimpunan tersebut yang bakal menjadi konflik agama jika ia mempunyai niat yang tidak baik dalam pembinaan persefahaman antara komuniti di negara ini.
Presiden MIPP P Punithan juga telah mendesak perkara yang sama dan ada beberapa pihak lain pun bersependapat. Setakat yang saya tahu, malangnya, saya belum nampak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang progresif memberi kenyataan mereka.
Saya tidak berniat dalam artikel ini untuk mendesak Zamri dan pengikut-pengikutnya untuk berundur tetapi saya ingin membawa empat persoalan kepada penganjur demonstrasi ini agar semua rakyat Malaysia boleh menilai sendiri apakah niat penganjuran perhimpunan tersebut.
Pun begitu, rakyat Malaysia sendiri perlu menilai parti-parti politik manakah yang bakal menghadirkan diri dan menyokong penuh tindakan Zamri ini.
Soalan pertama saya, adakah 141 NGO yang dikatakan Zamri akan menyokong perhimpunan aman ini kesemuanya NGO dari satu kaum sajakah dan adakah ia dari satu agama sahaja? Kalau NGO sejumlah besar ini dari kaum Cina, India, Iban, Kadazan maka saya tidak perlu risau kerana ia merentas kaum maka perhimpunan ini tidak patut diklasifikasikan sebagai ugutan perkauman.
Sama juga kalau 141 NGO ini terdiri daripada ahli-ahli yang wakil Buddha, Kristian, Bahai, Islam, Hindu dan lain-lain, saya pun ok juga sebab perhimpunan ini merentas agama. Maka itu tiada persoalan tentang perhimpunan ini bakal mencetuskan konflik antara agama.
Jadi, menteri perpaduan don’t worry lah. Saya rasa kalau 141 NGO ini semua merentas kaum dan agama maka saya fikir tidak ada halangan bagi pihak berkuasa memberi kebenaran.
Soalan kedua saya adalah bolehkah Zamri memberitahu kepada rakyat Malaysia kesemuanya berapa banyak kuil, surau, gereja dan rumah ibadat lain yang menceroboh kawasan awam yang tidak digazetkan majlis perbandaran tempatan? Adakah Zamri hanya khusus menegur satu jenis kuil dari satu jenis agama yang dianuti oleh kebanyakan satu jenis lauk sahaja?
Mengikut apa yang saya faham Zamri menentang semua rumah ibadat semua agama yang tidak mendapatkan kebenaran perbandaran tempatan atau pihak berkuasa tempatan. Bolehkah rakyat Malaysia melihat peratusan kuil dan rumah ibadat ‘haram’ ini supaya kita tahu bahawa Zamri tidak mensasarkan satu kaum, satu ugama dan satu komuniti sahaja.
Soalan ketiga, bolehkah Zamri menunjukkan sejarah pembinaan setiap kuil dan rumah ibadat ‘haram’ dari aspek pra-kolonial dan pasca-kolonial? Dalam pemahaman saya, sebelum wujudnya Malaysia, bandar-bandar kita diurus oleh penjajah yang berkemungkinan mempunyai perjanjian lain dengan komuniti kaum yang dibawa masuk untuk mengerjakan ekonomi getah, bijih timah untuk keuntungan pihak pemerintah sahaja.
Adakah juga data yang boleh Zamri tunjukkan tentang kekerapan penggunaan rumah-rumah ibadat haram ini dan jumlah kariah yang menggunakannya? Satu lagi yang saya ingin tahu juga sebelum menghadirkan diri saya ke demonstrasi ini, adakah data atau maklumat tentang kekacauan yang timbul dari orang awam lain yang menyukarkan kehidupan mereka dengan hadirnya rumah-rumah ibadat haram ini?
Kalau ada semua maklumat ini barulah kita boleh anggap bahawa perhimpunan ini cukup dengan data serta sebabnya dan bukan suatu usaha menyemarakkan api perkauman bagi keuntungan sesuatu pihak dari sudut politik atau ‘scam’ kutipan dana.
Soalan keempat saya kepada Zamri dan peminat perhimpunan kesemuanya adalah, apa penyelesaian terbaik terhadap isu ini? Adakah penyelesaian itu suatu kritikan keras terhadap penguasa tempatan yang ‘tidak buat kerja’ atau ‘tak tahu buat kerja’? Saya tidak mahu penyelesaiannya adalah menentang agama lain dan memusuhi kaum lain.
Sudah tentulah penyelesaian perlu ditujukan kepada pihak berkuasa tempatan. Kita tidak mahu Malaysia diurus oleh kumpulan amuk atau vigilante groups yang sesuka hati meroboh binaan sini-sana dan membuak-buakkan sentimen perkauman seperti kejadian 13 Mei 1969.
Saya berharap Zamri dapat memberikan jawapan kepada kesemua soalan-soalan saya dan rakyat Malaysia semua, sama ada orang awam, orang Melayu, Iban, Cina, Orang Asli, kaum India dan sebagainya dapat menilai sendiri niat penganjur demonstrasi ini.
Adakah demonstrasi ini untuk penyelesaian aman atau oportunis politik bagi mempopularkan seseorang individu serta kumpulan?
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
