Kerajaan akan umum peluasan penggunaan Padu Mac depan, kata menteri

akmal nasir
Akmal Nasrullah Nasir berkata sistem Padu berupaya menyokong kerajaan khususnya dalam memperkukuh perancangan dan pelaksanaan dasar. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan dijangka mengumumkan peluasan penggunaan Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) secara lebih menyeluruh menjelang awal Mac ini, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir.

Beliau berkata Putrajaya sedang merangka hala tuju baharu bagi Padu supaya fungsinya tidak terhad kepada pengagihan bantuan bersasar, sebaliknya menjadi asas penting dalam penggubalan dasar negara, lapor The Edge.

“Padu ialah satu sistem sangat baik dan mempunyai potensi besar.

“Pasukan saya dan saya di Kementerian Ekonomi sedang meneliti keseluruhan ekosistemnya bagi mengenal pasti bagaimana penggunaan sistem ini boleh dimaksimumkan serta memanfaatkan sepenuhnya data sedia ada,” katanya selepas sesi fireside chat di Forum Ekonomi Malaysia 2026.

Menurutnya, Padu berpotensi menyokong kerajaan dari sudut operasi dalaman, khususnya dalam mempertingkat perancangan dan pelaksanaan dasar.

Padu yang dilancarkan pada Januari 2024 sebelum ini berada di bawah seliaan Rafizi Ramli yang digantikan Akmal.

Pangkalan data berkenaan menggabungkan data telah disahkan daripada pelbagai agensi bagi menyediakan maklumat hampir masa nyata, mengurangkan pertindihan data serta memastikan subsidi disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.

Sistem itu pada asalnya dirangka sebagai rujukan utama pelaksanaan subsidi bahan api RON95 secara bersasar.

Namun pada September tahun lalu, kerajaan memperkenalkan mekanisme subsidi bersasar Budi Madani RON95 (Budi95), yang menetapkan harga petrol bersubsidi pada RM1.99 seliter bagi rakyat yang layak.

Author: admin