Mara salur RM17.3 juta perkasa usahawan Bumiputera Perlis

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan simbolik penyerahan peruntukan pembangunan usahawan Bumiputera di Perlis oleh Mara. (Gambar Istana Arau)

PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperuntukkan RM17.32 juta bagi pelaksanaan program pembangunan dengan fokus memperkukuh ekosistem keusahawanan Bumiputera di Perlis.

Peruntukan itu diserahkan secara simbolik oleh Ketua Pengarah Mara Zulfikri Osman kepada Pengarah Mara Perlis Mohd Azam Jamaluddin pada Majlis Santapan Malam sempena Program Konvoi Gemilang 60 Tahun Mara.

Majlis itu disaksikan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Menurut Mara, program pembangunan itu memberi penekanan kepada pengukuhan keupayaan usahawan Bumiputera menerusi inisiatif strategik dalam bidang digital, teknikal dan runcit, selari dengan keperluan pasaran semasa.

Antara inisiatif utama dilaksanakan ialah Program BizStart, latihan pendigitalan perniagaan serta pembangunan vendor industri, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik.

Mara berharap pelaksanaan program berkenaan dapat memastikan usahawan Bumiputera di Perlis kekal berdaya saing dan mampan, selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Majlis sama turut meraikan perpisahan Mohd Azam yang akan berpindah ke Ibu Pejabat MARA di Kuala Lumpur sebagai pengarah bahagian pembiayaan Perniagaan berkuat kuasa 16 Feb ini, susulan kenaikan pangkat.

Author: admin