Gudang terpencil di kawasan sawit diserbu, 24 PATI ditahan

Serbuan imigresen ke atas sebuah gudang tanpa papan tanda perniagaan membawa kepada penahanan 24 PATI. (Gambar JIM)

PETALING JAYA: Pihak berkuasa menyerbu sebuah gudang terpencil di Telok Panglima Garang, Kuala Langat semalam yang membawa kepada penahanan 24 pendatang tanpa izin (PATI).

Gudang itu dipercayai menjalankan aktiviti pemprosesan dan pembungkusan barangan dari China sebelum dihantar kepada pelanggan yang membuat pesanan melalui aplikasi dalam talian.

Bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa, aktiviti tersebut dijalankan di premis terpencil tanpa papan tanda perniagaan, dan terletak di kawasan kelapa sawit.

“Kegiatan ini dipercayai telah beroperasi selama enam bulan,” kata Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban dalam kenyataan.

Dua lelaki warganegara China, sembilan lelaki warganegara Bangladesh, dua lelaki warganegara India, dua lelaki dan lapan perempuan warganegara Myanmar serta seorang perempuan warganegara Kemboja ditahan dalam operasi 10.55 pagi itu.

“Semakan awal mendapati, dua warganegara China yang ditahan menyalahgunakan pas yang dimiliki, dua warganegara Bangladesh yang ditahan tinggal lebih masa, manakala warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini,” menurut kenyataan.

Salah seorang daripada warganegara China yang ditahan turut dipercayai menggajikan warganegara asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan atau pas lawatan kerja yang sah untuk bekerja di negara ini, tambahnya.

Dua warga China ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan bawah Perkara 39(b) Peraturan Imigresen dan Seksyen 55B Akta Imigresen, sementara dua warga Bangladesh ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen, manakala warga asing lain ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen.

Dalam pada itu, tiga warga tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

Author: admin